Kejayaan JDT jadi pemangkin bola sepak Malaysia

Datuk Hamidin Mohd Amin
Datuk Hamidin Mohd Amin
A
A
A

KEJAYAAN Johor Darul Ta'zim (JDT) melakar sejarah mara ke pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2022 membuka satu lagi lembaran baharu dalam arena bola sepak Malaysia.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin percaya, kejayaan itu meletakkan JDT setanding dengan kelab-kelab terbaik dari benua Asia.

“Tahniah JDT! Kejayaan ini bukan sahaja mampu menaikkan moral pemain negara untuk mencipta lebih banyak kejayaan di peringkat tertinggi tetapi diharap menjadi contoh terbaik kepada bola sepak negara.

“Terbukti dengan kerja keras serta perancangan yang baik seperti diusahakan oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, semuanya membuahkan hasil yang amat membanggakan.

“Kejayaan ini secara tidak langsung akan meningkatkan tahap permainan, kualiti dan mutu bola sepak negara seiring untuk bersaing dengan kelab dari kuasa besar bola sepak Asia,” katanya.

Beliau memberitahu, kejayaan manis itu juga mampu menaikkan lagi semangat skuad Harimau Selatan untuk melakar kejayaan pada pusingan kalah mati nanti.

“Sememangnya ia kemenangan penuh dramatik tetapi cukup bergaya, membuktikan pemain-pemain cukup berdaya saing,” katanya.

JDT mara ke pusingan 16 terbaik selaku juara Kumpulan I selepas menewaskan Ulsan Hyundai 2-1 dalam aksi terakhir peringkat kumpulan di Stadium Sultan Ibrahim pada Sabtu.