81 warga emas ditempatkan di pusat jagaan LZS sejak 2014

Pusat Jagaan Warga Emas Zakat Selangor atau Bait Al-Mawaddah di Jalan Kebun, Seksyen 30, Shah Alam.
Pusat Jagaan Warga Emas Zakat Selangor atau Bait Al-Mawaddah di Jalan Kebun, Seksyen 30, Shah Alam.
A
A
A

SHAH ALAM - Pusat Jagaan Warga Emas Zakat Selangor atau Bait Al-Mawaddah menerima seramai 81 warga emas sejak penubuhannya pada 2014 sehingga sekarang.

Pusat jagaan di bawah usaha Lembaga Zakat Selangor (LZS) itu ditubuhkan bagi membantu golongan warga emas asnaf, fakir dan miskin hidup sebatang kara atau tiada waris.

LZS dalam kenyataannya memaklumkan, melalui pusat jagaan berkenaan, warga emas diberikan tempat perlindungan selesa, lebih teratur dan dilengkapi dengan prasarana sempurna.

"Dilengkapi sebanyak 26 bilik, Bait Al-Mawaddah mampu untuk menempatkan sehingga 52 orang penghuni pada satu-satu masa termasuk penyediaan empat bilik sebagai bilik isolasi.

"Bait Al-Mawaddah turut menyediakan kemudahan klinik, bilik fisioterapi, surau, bilik kuliah, dewan makan dan taman serta landskap untuk para penghuninya.

"Permohonan kemasukan penghuni ke Bait Al Mawaddah diterima melalui pelbagai sumber termasuk badan-badan kebajikan dan sebagainya," kata kenyataan itu kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Dalam pada itu, terdapat juga permohonan diajukan melalui telefon dan datang sendiri namun kelulusan kemasukan tertakluk kepada garis panduan dan syarat yang ditetapkan.

"Warga emas yang berada di Bait Al-Mawaddah terdiri daripada asnaf fakir dan miskin dan mereka perlu memenuhi kriteria serta syarat yang ditetapkan sebelum ditempatkan di sini.

"Buat masa ini kita tidak ada senarai menunggu untuk kemasukan baharu disebabkan pusat jagaan ini sudah penuh sekaligus tiada pengambilan dibuat," tambahnya.

Katanya lagi, LZS turut menjalinkan kerjasama dengan pusat-pusat jagaan lain dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi menempatkan warga emas sekiranya mereka tidak memenuhi kriteria dan syarat ditetapkan di situ.

LZS menambah, kos pengurusan dan penjagaan pula dibiayai menggunakan peruntukan wang zakat LZS manakala peruntukan tambahan akan disalurkan tertakluk kepada keperluan semasa.