Warga Vietnam ditahan tebang balak

Antara tujuh balak jenis kasai yang ditebang dalam hutan tanpa lesen.
Antara tujuh balak jenis kasai yang ditebang dalam hutan tanpa lesen.
A
A
A

KUANTAN – Pejabat Hutan Daerah (PHD) Bentong di Hutan Simpan Lentang, Bentong menahan seorang lelaki warga Vietnam berusia 43 tahun yang melakukan aktiviti menebang balak tanpa lesen di hutan simpan itu, kelmarin.

Pengarah Jabatan Perhutanan negeri, Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin berkata, lelaki itu telah menebang tujuh pokok balak jenis kasai bernilai lebih RM35,000.

“Lelaki itu akan kita dakwa Akta Perhutanan Negara 1984 kerana berada dalam hutan simpan dan menebang pokok tanpa lesen, sabit kesalahan didenda hingga RM50,000 atau lima tahun penjara atau keduanya sekali.

"Kita tidak akan berkompromi dengan pihak yang melakukan apa juga kesalahan terutama membabitkan kegiatan menceroboh hutan simpan dan memindahkan balak tanpa lesen," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Turut dirampas bersama lelaki berkenaan sebuah motosikal, mesin gergaji berantai dan beberapa peralatan membelah kayu yang digunakan untuk melakukan aktiviti terbabit.

Dalam pada itu, Mohd Hizamri berkata, minggu lalu Mahkamah Temerloh telah menjatuhkan hukuman denda RM111,000 terhadap lapan lelaki termasuk dua warga Indonesia kerana melakukan kesalahan menceroboh dan memindahkan hasil hutan tanpa lesen di Hutan Simpan Berkelah, Maran.

Katanya, pesalah itu juga perlu membayar sebanyak RM20,000 kepada pihak berkuasa negeri di atas kerosakan hutan yang berlaku.

“Mereka ini (dua warga Indonesia) dikenakan penjara lapan bulan bermula tarikh ditangkap dan hukuman berat yang dikenakan kepada lapan individu itu.

Artikel Berkaitan:

“Kita harapkan menjadi pengajaran kepada pihak lain cuba melakukan aktiviti menceroboh hutan simpan dan memindahkan balak tanpa lesen,” katanya.

Selain itu, Mohd Hizamri berkata, pihaknya sudah mengarahkan anggota penguat kuasa Pejabat Hutan Daerah dan negeri supaya melakukan pemantauan di semua kawasan hutan yang sering menjadi sasaran sindiket mencuri balak di negeri ini.

Jelasnya, kegiatan mencuri balak kini dilihat semakin aktif terutama di beberapa daerah dan kini usaha mengesan dan menyekat dilakukan dengan serius menggunakan pelbagai cara.