Lebuh raya arah utara sesak, trafik lancar ke Pantai Timur

Keadaan kesesakan trafik di Lebuh Raya Utara Selatan di kawasan Slim River pada Ahad. - Foto LLM Trafk
Keadaan kesesakan trafik di Lebuh Raya Utara Selatan di kawasan Slim River pada Ahad. - Foto LLM Trafk
A
A
A

SHAH ALAM - Aliran trafik di laluan lebuh raya arah Utara mengalami kesesakan di beberapa lokasi setakat jam 1.07 petang Ahad manakala lebuh raya menghala ke Pantai Timur pula menunjukkan perjalanan trafik yang lancar.

Tinjauan di Twitter Lembaga Lebuhraya Malaysia dan Plus Trafik mendapati berlaku kesesakan sepanjang 12 kilometer (KM) arah Utara dari Bukit Tagar ke Tanjung Malim ekoran daripada aliran trafik yang tinggi.

PLUS turut melaporkan kesesakan sejauh 16km arah Utara dari Ipoh (U) ke Kuala Kangsar dan aliran trafik sesak sepanjang 15km arah Utara dari Slim River ke Sungkai.

Selain itu, beberapa lokasi merekodkan aliran trafik perlahan arah Utara membabitkan laluan dari Rawang ke Bukit Beruntung, Lembah Beringin ke Behrang, Slim River ke Sungkai dan ke Bidor, Tapah ke Gopeng, Ipoh (U) ke R&R Sungai Perak serta Bandar Baharu ke Jawi.

Sementara itu, trafik arah Pantai Timur masih lancar setakat jam 11 pagi Ahad iaitu dari Plaza Tol Karak ke Kuantan bagi kedua-dua arah dan dari Lentang ke Plaza Tol Bentong terus ke Karak.

Bagaimanapun, pada masa sama, kesesakan dilaporkan masih berlaku di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) sejauh 34.6km iaitu daripada Greenwood di Lebuh Raya Duta-Ulu Kelang (DUKE) dan Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) di Taman Melati hingga ke Plaza Tol Gombak terus ke Bukit Tinggi.

Dalam pada itu, aliran trafik perlahan diirekodkan setakat jam 10.53 pagi Ahad bagi arah Selatan iaitu dari Putra Mahkota ke R&R Seremban dan Seremban ke RnR Senawang.

Turut menunjukkan aliran trafik perlahan bagi arah Utara pula ialah dari Skudai ke Kulai dan dari Ayer Hitam ke Yong Peng.