Ops Pagar Laut: Rampasan RM10.6 juta pelbagai jenayah rentas sempadan

Maritim melaksanakan Ops Pagar Laut sejak 19 April sempena musim perayaan bagi mengekang jenayah rentas sempadan. Gambar Kecil: Mohd Zubil
Maritim melaksanakan Ops Pagar Laut sejak 19 April sempena musim perayaan bagi mengekang jenayah rentas sempadan. Gambar Kecil: Mohd Zubil
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menumpaskan pelbagai kegiatan jenayah rentas sempadan dengan rampasan bernilai RM10.6 juta menerusi Ops Pagar Laut.

Operasi khas yang dilancarkan sejak 19 April lalu sempena musim perayaan itu memfokuskan kes penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI), kontraband serta barangan kawalan di sempadan perairan negara.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, sebanyak 32 kes direkodkan setakat 28 April dengan empat kes melibatkan tangkapan PATI di perairan Kuala Sungai Besar, Selangor dan perairan Terengganu.

Menurutnya, Maritim juga menumpaskan cubaan penyeludupan barangan kontraban dan barang kawalan dengan merekodkan lima kes membabitkan rampasan mercun di perairan Kelantan, dadah di perairan Labuan, Sabah serta rokok di perairan Semporna, Sabah.

Antara yang ditahan dalam Ops Pagar Laut sejak dijalankan pada 19 April lalu.
Antara yang ditahan dalam Ops Pagar Laut sejak dijalankan pada 19 April lalu.

"Bagi tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, kita merekodkan dua kes masing-masing membabitkan rampasan petrol di perairan Sandakan, Sabah serta minyak masak di perairan Semporna, Sabah.

"Rampasan terbesar yang direkodkan setakat ini adalah tangkapan bot nelayan asing dengan nilai rampasan melebihi RM10 juta di perairan Terengganu, Kelantan dan Johor melibatkan tujuh kes.

"Sebanyak 12 kes pula adalah pelbagai kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 melibatkan bot nelayan tempatan dan Enakmen Jabatan Pelabuhan Dan Dermaga Sabah (JPDS) 2002," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Beliau berkata, selebihnya adalah kes di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 dengan penahanan empat kapal dagang di perairan Johor Timur kerana berlabuh secara haram.

Anggota Maritim menjalankan pemeriksaan bot nelayan menerusi Ops Pagar Laut.
Anggota Maritim menjalankan pemeriksaan bot nelayan menerusi Ops Pagar Laut.

Tegas Mohd Zubil, Maritim Malaysia tidak akan mengendurkan kesiapsiagaan operasi pada musim perayaan bagi mengekang dan memerangi aktiviti jenayah rentas sempadan di perairan negara supaya keselamatan dan kesejahteraan perairan negara terus terpelihara.

"Sebarang maklumat kegiatan jenayah maritim boleh disalurkan kepada Pusat Operasi Maritim (POMAR) di talian 03-89434001 atau mana-mana Pusat Operasi Maritim (PUSOP) yang berhampiran di setiap Maritim Negeri seluruh negara," katanya.