119 penumpang feri terkandas empat jam

Pasukan Maritim Malaysia segera ke lokasi untuk membantu penumpang feri yang terkandas kira-kira empat jam di perairan Molleangin, Kudat.
Pasukan Maritim Malaysia segera ke lokasi untuk membantu penumpang feri yang terkandas kira-kira empat jam di perairan Molleangin, Kudat.
A
A
A

KUDAT - Seramai 119 penumpang feri dalam perjalanan dari Karakit, Pulau Banggi menuju ke Jeti Feri Kudat terkandas kira-kira empat jam selepas feri dinaiki rosak di perairan Molleangin di sini, pada Sabtu.

Dalam kejadian jam 11.40 pagi itu, semua penumpang yang terkandas berjaya dipindahkan dengan bantuan sepasukan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Boon Chin Chau berkata, pihaknya menerima laporan sebuah feri membawa penumpang terkandas dan dibawa arus di kawasan terumbu karang di perairan berkenaan.

"Tiga bot ronda Maritim Malaysia dari Zon Maritim Kudat digerakkan ke lokasi kejadian untuk bantuan segera dan pemantauan terhadap keselamatan penumpang.

"Penumpang terkandas dipindahkan ke feri penumpang bantuan dan dihantar terus ke Jeti Feri Kudat," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Katanya lagi, semua penumpang feri selamat dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu.

Chin Chau turut menasihatkan kepada pengusaha feri dan pemilik bot sentiasa memastikan pengangkutan mereka dalam keadaan selamat dan diselenggara dengan baik selain mematuhi undang-undang.