Daun jadi kanvas seni

Muhammad Hafizi menunjukkan potret Pemangku Raja Pahang,Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang disiapkan selema tiga hari menggunakan 30 helai daun teja. - Foto: Bernama
Muhammad Hafizi menunjukkan potret Pemangku Raja Pahang,Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang disiapkan selema tiga hari menggunakan 30 helai daun teja. - Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Walaupun baru bergelar pengukir daun, bakat yang dimiliki Muhammad Hafizi Abdul Karim, 31, tidak boleh disangkal lagi.

Buktinya, anak kelahiran Kulim, Kedah ini berjaya menghasilkan pelbagai seni ukiran daun yang menakjubkan antaranya potret Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Tunku Abdul Rahman, Tun Dr Mahathir Mohamad, Leftenan Adnan dan Presiden Indonesia Joko Widodo.

Tidak hanya itu, beliau yang menetap di Sungai Petani, Kedah turut menghasilkan ukiran daun dalam bentuk kaligrafi dan imej lain seperti haiwan, bangunan dan pengangkutan.

Malah, tangan seni yang dimiliki bapa dua anak ini juga pernah mencetuskan fenomena selepas menghasilkan ukiran Masjid al-Aqsa bertajuk ‘Free Gaza’ sebagai tanda solidariti terhadap rakyat Palestin dan berkongsinya di laman sosial Facebook melalui group ‘Lukis’ pada Mei tahun lepas.

Muhammad Hafizi yang menggelarkan diri sebagai ‘Pakar Bedah Daun’ berkata kerja seninya itu bermula selepas memenuhi permintaan isterinya untuk mengukir wajah pada sehelai daun.

Muhammad Hafizi mengambil tempoh hingga tiga hari bagi menyiapkan potret Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menggunakan 30 helai daun teja, yang ditempah oleh Majlis Belia Negeri Pahang. - Foto: Bernama
Muhammad Hafizi mengambil tempoh hingga tiga hari bagi menyiapkan potret Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menggunakan 30 helai daun teja, yang ditempah oleh Majlis Belia Negeri Pahang. - Foto: Bernama

"Saya memang suka melukis sejak dari bangku sekolah lagi. Tapi saya hanya anggapnya sebagai hobi. Namun, selepas mendapat perhatian, saya memilih untuk terus serius dalam bidang ini dan jadikannya sebagai sumber pendapatan utama.

"Lagipun, bidang seni ukiran daun ini masih terlalu baru di negara ini dan belum ramai yang menceburinya. Tambahan pula, seni ini memerlukan kesabaran, ketekunan dan ketelitian unttuk melakukannya,” katanya kepada Bernama.

Menceritakan proses membuat ukiran, Muhammad Hafizi mengakui lebih gemar menggunakan daun teja berbanding daun nangka kerana sifatnya yang tahan lasak sebelum dikeringkan dan diawetkan agar kualiti ukiran kekal terpelihara.

"Sebelum ini, saya menggunakan daun nangka namun daun itu akan mengecut apabila dikeringkan sekali gus menyebakan ukiran tersebut ‘lari’ dari kedudukan asal.

"Selepas dikeringkan, saya akan sapukannya dengan sejenis cecair iaitu resin bertujuan menjaga kualiti yang kemudiannya akan dibingkaikan,” katanya yang mengutip daun teja di sekeliling rumahnya.

Muhammad Hafizi yang berhasrat membuka sebuah galeri lukisan dalam tempoh 10 tahun berkata sesuatu ukiran daun memerlukan masa sehingga dua jam untuk disiapkan bergantung kepada jenis ukiran yang diminta.

"Bagaimanapun, saya pernah mengambil tempoh hingga tiga hari menyiapkan potret Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menggunakan 30 helai daun teja, yang ditempah oleh Majlis Belia Negeri Pahang,” katanya dan menjelaskan ukirannya bermula daripada RM100, bergantung kepada jenis ukiran dan tahap kesukarannya. - Bernama