Pencemaran ammonia: 75,000 penduduk terjejas bekalan air

Maszlee (bertopi) melihat LRA Simpang Renggam
Maszlee (bertopi) melihat LRA Simpang Renggam
A
A
A

SIMPANG RENGGAM - Kira-kira 75,000 pengguna Ranhill SAJ Sdn. Bhd. (Ranhill SAJ) di Simpang Renggam, Ayer Hitam, Kulai, utara Pontian dan kawasan sekitarnya terjejas apabila terputus bekalan air dipercayai akibat pencemaran ammonia sejak Sabtu lalu.

Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik berkata, Loji Rawatan Air (LRA) Simpang Renggam juga terpaksa ditutup sementara apabila ban tanah kolam air larutan resapan (leachate) di Tapak Pelupusan Sampah CEP Renggam telah pecah.

"Pencemaran ammonia daripada CEP Renggam ini telah mengalir ke Sungai Benut dan penutupan sementara LRA ini semakin kerap berlaku pada tahun ini dan saya percaya ada pihak tak bertanggungjawab ambil kesempatan lepaskan ammonia ke dalam sungai ini.

"Sebagai wakil rakyat, saya meminta satu tindakan tegas dapat diambil oleh semua agensi yang terlibat mencemarkan sungai ini sehingga menimbulkan masalah kepada penduduk di Parlimen Simpang Renggam ini yang terpaksa mendapatkan bekalan air secara berjadual," katanya.

Beliau yang juga Menteri Pendidikan berkata kepada pemberita semasa sidang media selepas melakukan lawatan di LRA Sungai Benut di Kampung Kolam Air, di sini, hari ini.

Maszlee (kiri) sewaktu melakukan lawatan di LRA Simpang Renggam
Maszlee (kiri) sewaktu melakukan lawatan di LRA Simpang Renggam

Menurutnya, selain masalah leachate di CEP Renggam, terdapat pelbagai lagi faktor lain yang turut menyumbang kepada pencemaran di LRA Simpang Renggam ini seperti seperti air larutan resapan daripada kilang memproses kelapa sawit, sisa najis ternakan ayam dan sisa kumbahan Indah Water Konsortium (IWK) yang tidak dirawat dengan sebaiknya.

"Saya juga mendesak pihak terbabit agar menutup operasi tapak pelupusan sampah di CEP Renggam ini secepat mungkin sebelum perkara yang lebih besar dan tidak diingini di kawasan ini berlaku dan saya meminta kerajaan negeri turut campur tangan.

Artikel Berkaitan:

"Saya juga meminta Jabatan Alam Sekitar (JAS), Badan Kawal Selia Air Johor (BAKAJ), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) supaya mengambil cakna isu ini kerana kami di Simpang Renggam mahu isu ini diselesaikan segera," katanya.

Menurutnya, dalam pertemuan bersama pihak Ranhill SAJ dan BAKAJ pada minggu lalu juga, kedua agensi ini telah bersetuju agar sumber air mentah daripada Empangan Machap dapat disalirkan ke LRA Simpang Renggam agar penduduk di kawasan ini tidak mengharapkan semata-mata sumber air yang telah tercemar ini.

Pada masa sama, beliau menjunjung kasih titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang mahu pihak berkuasa segera menyiasat pencemaran yang berlaku di Sungai Ulu Benut dan Sungai Machap ini selepas menghadap baginda pagi tadi.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri, Datuk Dr Mohammad Ezanni Mat Salleh mengesahkan hasil siasatan awal pihaknya mendapati, punca pencemaran di Sungai Ulu Benut dan Sungai Machap, Simpang Renggam dekat Kluang hingga menyebabkan berlakunya kematian ikan-ikan adalah disebabkan kandungan ammonia yang tinggi kesan limpahan air sampah.