Lapan penyeludup dadah maut, berbalas tembakan di Chiang Rai

No Image Caption
A
A
A

BANGKOK- Lapan disyaki penyeludup dadah bersenjata maut dan kira-kira 4.5 juta pil methamphetamine dirampas susulan kejadian berbalas tembakan dengan anggota peronda sempadan di daerah Mae Fah Luang, di wilayah utara Chiang Rai pada Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 pagi (waktu tempatan) Sabtu, komander Pasukan Petugas Pha Muang, Mejar Jeneral Suparoek Sathapornphon berkata, tentera yang berkawal di sempadan melihat kira-kira 10 lelaki membawa beg di dalam hutan.

Suparoek yang juga pengarah Pusat Operasi Kawalan Narkotik Pha Mueang berkata, tentera memberi isyarat kepada kumpulan lelaki terbabit supaya berhenti untuk pemeriksaan tetapi mereka melepaskan tembakan ke arah pasukan keselamatan dalam cubaan melarikan diri.

"Tentera membalas tembakan dan insiden berbalas tembakan berlanjutan kira-kira 10 minit.

"Selepas keadaan terkawal, tentera menjalankan pemeriksaan dan menemui lapan mayat di tempat kejadian. Selain itu, 45 beg mengandungi kira-kira 4.5 juta pil methamphetamine turut ditemui bertaburan di tempat kejadian,” katanya.

Beliau berkata, identiti penyeludup dadah bersenjata itu masih belum dikenal pasti kerana tiada dokumen pengenalan diri ditemui pada mereka. - Bernama