Jurutera JKR diarah kenal pasti penempatan tiada jalan raya di Sarawak

Amar Dounglas Unggah
Amar Dounglas Unggah
A
A
A

KAPIT - Semua Jurutera Bahagian Jabatan Kerja Raya (JKR) di Sarawak diarah mengenal pasti penempatan luar bandar dan kampung-kampung di kawasan mereka yang masih tiada perhubungan jalan raya bagi membolehkan kerajaan negeri mengambil tindakan lanjut.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dounglas Unggah Embas berkata, beliau mahu semua jurutera berkenaan, menyerahkan maklumat tersebut kepada beliau dalam masa terdekat, bagi membolehkan kerajaan memberi tumpuan menyelesaikan isu tersebut.

"Kami akan melihat rekod dan mula merancang menghubungkan mereka. Adalah menjadi harapan kita untuk menghubungkan mereka (ke bandar dan pekan) menjelang 2030,” katanya sambil menambah beliau akan berusaha dengan terbaik untuk mencapai matlamat itu.

Katanya, kerajaan negeri akan memastikan tiada penempatan luar bandar atau rumah panjang di Sarawak, tertinggal daripada dihubungi rangkaian jalan raya.

Uggah yang juga Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan PBB Cawangan Katibas, Bukit Goram, Baleh dan Pelagus bagi Sesi 2022-2025 di Dewan Suarah Kapit di sini, pada Sabtu.

"Bagi kerajaan GPS, kita sentiasa mahukan masa depan yang lebih baik untuk rakyat kita. Atas sebab ini, kita berusaha untuk membawa masuk atau menaik taraf semua keperluan asas dan kemudahan infrastruktur.

"Kemudian kami akan meneruskan penganjuran aktiviti-aktiviti dan program-program untuk membantu rakyat menjana pendapatan,” kata Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan.

Pada majlis sama, Uggah turut mengucapkan tahniah kepada Ahli Parlimen Kapit Datuk Seri Alexander Nanta Linggi yang baru-baru ini dilantik sebagai Pengerusi Agensi Pembangunan Ulu Rajang atau URDA bagi menggantikan mendiang Tan Sri Dr James Jemut Masing.

Sementara itu, Uggah memuji empat cawangan tersebut atas resolusi mereka supaya jawatan presiden PBB dan dua timbalan presiden, tidak dipertandingkan pada Mesyuarat Agung Tritahunan (TGM) parti itu Jun ini.

Uggah turut menggesa semua cawangan PBB terus mengambil lebih ramai ahli muda yang akan mewarisi kepimpinan parti pada masa akan datang. - Bernama