PM Australia janji kos perubatan lebih rendah jika dipilih lagi

Scott Morrison. Foto Reuters
Scott Morrison. Foto Reuters
A
A
A

CANBERRA - Kerajaan Australia berjanji untuk mengurangkan kos perubatan jika dipilih semula pada Mei, lapor Agensi Berita Xinhua.

Perdana Menteri Scott Morrison pada Sabtu mengumumkan Pakatan itu akan membelanjakan AU$150 juta (US$105.9 juta) untuk mengurangkan kos ubat-ubatan mulai 2023 jika dipilih pada 21 Mei.

Di bawah pelan itu, kos maksimum semua ubat-ubatan yang disubsidi oleh kerajaan di bawah Skim Faedah Farmaseutikal (PBS) akan dikurangkan daripada AU$42.50 dolar Australia (US$30) setiap preskripsi kepada AU$32.50 dolar Australia (AS$22.9).

Morrison berkata, langkah itu akan menawarkan bantuan kos sara hidup segera kepada 19 juta rakyat Australia.

"Dalam Bajet tahun ini, kami memahami keperluan untuk mengambil tindakan bagi mengurangkan tekanan kos sara hidup, dan kami tahu tekanan itu adalah benar," katanya kepada pemberita.

"Terdapat banyak perkara yang anda tidak boleh kawal... tetapi anda boleh bantu pengguna ubat-ubatan ini, dan anda boleh mengurangkan bayaran bukan konsesi ini sebanyak AU$10 setiap preskripsi."

Menurut Jabatan Kesihatan kerajaan Australia, setakat petang Jumaat, negara itu mencatatkan lebih 42,000 kes baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam yang lalu, menjadikan jumlah keseluruhan kes kepada lebih 5.7 juta. Angka kematian berjumlah 7,189 orang.

Sabtu menandakan hari ke-20 kempen pilihan raya dan tiga minggu lagi menjelang hari mengundi. - Bernama