Covid-19: KPDNHEP periksa pekerja, pengunjung premis perniagaan

Alexander
Alexander
A
A
A

SHAH ALAM - Pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan menjalankan semakan secara rawak status pengunjung dan pekerja di premis perniagaan di seluruh negara bagi mengekang penularan Covid-19.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, langkah itu diambil susulan semua individu dibenarkan memasuki premis tanpa mengira status vaksinasi kecuali mereka yang positif Covid-19 dan dalam Perintah Pengawasan dan Pemantauan (HSO) bermula Ahad.

Katanya, tindakan penguatkuasaan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) akan dikenakan terhadap pengunjung atau pekerja premis yang gagal mematuhi peraturan ditetapkan.

"Justeru, kementerian menyarankan semua pihak bersatu memastikan fasa peralihan endemik berjalan lancar bagi memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa dipelihara,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Alexander turut memberitahu, kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) selaras fasa peralihan endemik di negara ini akan membolehkan industri peruncitan dan pengguna ‘kembali bernafas’ selepas dua tahun terjejas akibat pandemik Covid-19.

Berdasarkan statistik terkini Jabatan Perangkaan Malaysia, prestasi Sektor Perdagangan dan Pengedaran bagi Februari 2022, nilai jualan berjumlah RM48.8 bilion iaitu pertumbuhan sebanyak 10.2 peratus berbanding tahun sebelumnya.

"Melalui kelonggaran yang diumumkan ini, pencapaian itu dijangka dapat dipertingkatkan dengan kerjasama semua pihak khususnya tanggungjawab pemain industri peruncitan,” katanya.