Cubaan 143 PATI masuk Malaysia gagal

Mior Faridalathrash
Mior Faridalathrash
A
A
A

PARIT BUNTAR - Cubaan kira-kira 143 pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk masuk ke negara ini melalui perairan Kuala Kurau, di sini gagal apabila kesemua mereka berjaya diberkas anggota keselamatan pada Sabtu.

Malah usaha sebahagian mereka yang sanggup terjun ke laut dan berenang kira-kira 200 meter ke darat untuk meloloskan diri juga gagal apabila berjaya dikesan.

Difahamkan, kesemua mereka menaiki sebuah bot dipercayai dari Myanmar sebelum kenderaan itu tersangkut di Beting Kalumpang iaitu jarak enam batu nautika di perairan laut Kuala Kurau.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, sebahagian besar PATI terbabit merupakan etnik Rohingya termasuk 18 orang kanak-kanak.

Menurutnya, selain itu, empat lelaki yang turut ditahan merupakan warganegara Bangladesh dengan kesemua mereka berusia di antara lima hingga 40 tahun.

"Mereka dipercayai dari Myanmar dan cuba masuk ke negara ini namun kita berjaya tangkap mereka selepas bot yang dinaiki tersangkut di beting pasir tersebut.

"Ketika pemeriksaan dibuat, seramai 87 orang berada di dalam bot manakala selebihnya telah melarikan diri dengan berenang ke darat. Bagaimanapun semua PATI ini berjaya ditangkap di antara jam 7 pagi hingga 12.30 tengah hari," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Mior Faridalathrash berkata, kesemua mereka bagaimanapun tiada kaitan dengan tahanan Pati yang melarikan diri dari Depot Tahanan Imigresen Sementara Relau, Sungai Bakap, Kedah pada 20 April lalu.