Hapus 195,664 keluarga miskin tegar menjelang akhir 2025: Mustapa

Hajiji ketika mengadakan perjumpaan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Ekonomi), Datuk Seri Mustapha Mohamed sebelum taklimat mengenai pembangunan daerah Tuaran, pada Sabtu. - Foto Bernama
Hajiji ketika mengadakan perjumpaan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Ekonomi), Datuk Seri Mustapha Mohamed sebelum taklimat mengenai pembangunan daerah Tuaran, pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

TUARAN - Kerajaan mahu menghapuskan keseluruhan 195,664 keluarga miskin tegar di negara ini menjelang akhir 2025 menerusi program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, melalui BMTKM keluarga miskin tegar akan diberikan bantuan bagi menambah baik hidup mereka, dan seterusnya dipantau perkembangan keluarga terutamanya peluang pendidikan diterima anak-anak mereka.

Beliau berkata, daripada 195,664 keluarga miskin tegar di negara ini, sebanyak empat negeri mencatat jumlah tertinggi iaitu Sarawak dengan 58,611 keluarga, Sabah (31,598 keluarga), Kelantan (28,553 keluarga) dan Kedah (15,964 keluarga).

"Miskin tegar ini secara umumnya pendapatan mereka kecil cukup makan sahaja dan kita mahu hapuskan pada akhir 2025, maknanya pada awal 2026 kita ingin isytiharkan tiada lagi keluarga miskin tegar di Malaysia.

"Kita mahu bagi bantuan (BMTKM) berkesan sekali sahaja supaya mereka boleh keluar daripada kemiskinan tegar, program ini bukan sahaja diukur segi pendapatan kita juga mahu perubahan minda seperti pastikan anak-anak mereka ke sekolah,” katanya pada sidang media di sini, pada Sabtu.

Terdahulu, beliau mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan mengadakan lawatan ke Kampung Penimbawan di sini yang merupakan antara 10 lokaliti dipilih untuk pelaksanaan Fasa Satu BMTKM di negeri ini.

Lokaliti lain ialah Kampung Penangah di Tongod; Kampung Bongkol (Pitas); Kampung Sembirai (Kota Belud); Kampung Tandek (Kota Marudu); Kampung Pelakat (Sipitang); Kampung Binsulok (Beaufort); Kampung Tetabuan (Beluran); Kampung Kaingaran (Ranau); dan Kampung Lima (Nabawan).

Mengulas lanjut, Mustapa berkata, bagi Fasa Satu BMTKM sebanyak 80 lokaliti di seluruh negara telah dikenal pasti dengan kira-kira 50 keluarga dalam setiap lokaliti akan menerima manafaat menerusi program tersebut.

"Fasa satu ini, sebanyak 10 lokaliti masing-masing di Sabah dan Sarawak 10 dipilih manakala selebihnya di Semenanjung...tahun ini dua lagi fasa dilaksanakan, jadi ada tiga fasa dan keseluruhan 240 lokaliti akan dipilih tahun ini, dan Sabah tahun ini 10 lokaliti setiap fasa jadi 30 lokaliti tahun ini,” katanya.

Ditanya tentang mekanisme akan dilaksanakan untuk membawa keluar keluarga terlibat daripada miskin tegar, beliau berkata, BMTKM itu dilaksanakan dengan kerjasama kerajaan negeri, pejabat daerah dan agensi terlibat yang mengenal pasti keperluan keluarga di lokaliti tertentu.

"Setiap lokaliti ada keperluan dan strategi tertentu seperti Kampung Penimbawan ini sektor perikanan jadi kita bagi bantuan seperti peralatan menangkap ikan dan ada juga kita bantu menjalankan aktiviti penternakan, ini akan dikenal pasti oleh agensi terlibat seperti pejabat daerah masing-masing,” katanya. - Bernama