Liek Hou tekad rampas semula emas Sukan Para Asia

Liek Hou meraih pingat emas pada temasya Sukan Paralimpik Tokyo 2020 tahun lalu. Foto PARALIMPIK_TOKYO
Liek Hou meraih pingat emas pada temasya Sukan Paralimpik Tokyo 2020 tahun lalu. Foto PARALIMPIK_TOKYO
A
A
A

JUARA Sukan Paralimpik Tokyo 2020, Cheah Liek Hou menanam hasrat memenangi semula pingat emas Sukan Para Asia di Hangzhhou, China yang dijadualkan berlangsung pada 9 hingga 15 Oktober depan.

Bagaimanapun, pemenang dua pingat emas Sukan Para Asia itu berkata, prestasinya di China nanti akan menentukan sama ada dia mampu membawa pulang pingat emas atau tidak.

“Pada masa ini sasaran saya ialah untuk memenangi pingat emas di Hangzhou, namun ia bergantung kepada prestasi saya semasa temasya itu... jika saya berada pada prestasi terbaik, tentunya saya sasarkan pingat emas.

“Saya bukan seorang pemain muda lagi, sebab itu saya tidak akan dapat berada pada prestasi terbaik pada setiap pertandingan,” kata jaguh badminton berusia 34 tahun itu, baru-baru ini.

Liek Hou gagal mempertahan emas Sukan Para Asia yang dia menang dua kali berturut-turut di Guangzhou 2010 dan Inchoen 2014, apabila hanya memenangi gangsa pada edisi terakhir di Jakarta-Palembang, Indonesia.

Sementara itu, Liek Hou memberitahu, dia tidak mengambil bahagian dalam dua kejohanan berturut-turut di Sepanyol bulan lalu kerana menjadi kontak rapat kepada seorang pemain negara yang positif Covid-19.

“Bukan kerana cedera, tetapi saya menjadi kontak rapat kepada salah seorang rakan sepasukan dan sebab itulah saya tidak mengambil bahagian dalam dua kejohanan di Sepanyol,” jelasnya.

Namun, tanpa penyertaaan Liek Hou di Sepanyol, atlet badminton berkerusi roda, Muhammad Ikhwan Ramli menjadi kebanggaan negara, apabila dia memenangi kedua-dua pertandingan di Sepanyol.

Ikhwan dinobatkan sebagai juara Spanish Para Badminton International II selepas menewaskan Thomas Wandschneider 22-20, 22-24, 21-17 di pentas final.

Ikhwan terus mencipta sensasi apabila meraih kejayaan berturut-turut terhadap pemain Jerman itu dengan menjuarai Iberdola Spanish Para Badminton International hasil kemenangan 21-12, 21-16. - Bernama