RM150 juta telah disalur kepada 6,853 majikan di bawah PSU 5.0

Tengku Zafrul
Tengku Zafrul
A
A
A

KUALA LUMPUR - Setakat 15 April, 2022, sejumlah RM150.979 juta telah disalurkan kepada 6,853 majikan untuk terus beroperasi dan mengekalkan penggajian bagi 97,662 pekerja di bawah Program Subsidi Upah (PSU) 5.0.

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, secara keseluruhannya, kerajaan telah menyalurkan RM20.755 bilion kepada 357,715 majikan melalui PSU bagi mengekalkan penggajian 2,956,607 pekerja tempatan sebagai usaha mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan pekerja warganegara Malaysia.

Beliau berkata, kerajaan juga melalui Kementerian Pengajian Tinggi telah memperuntukkan RM100 juta bagi menjayakan program KPT-CAP (Program Peningkatan Kerjaya) sebagai usaha menangani isu graduan menganggur.

"Setakat 8 April, 2022 KPT-CAP telah berjaya menempatkan 11,750 lepasan pengajian tinggi,” katanya dalam Laporan Kewangan Rakyat ke-94 yang dikeluarkan di sini, pada Sabtu.

Kerajaan akan meneruskan inisiatif KPT-CAP dengan sasaran untuk menawarkan 20,000 peluang pekerjaan kepada golongan lepasan pengajian tinggi bagi tahun ini, katany graduan bagi tahun 2022, katanya.

Mengulas mengenai ekonomi, Tengku Zafrul berkata, indikator ekonomi bagi tiga bulan pertama 2022 menunjukkan prospek ekonomi Malaysia yang positif dalam masa terdekat dengan mobiliti yang tinggi dijangka berlaku susulan pembukaan sempadan antarabangsa.

Beliau berkata, jumlah perdagangan negara mengekalkan prestasi kukuhnya dengan mencatatkan pertumbuhan 17.5 peratus, mencecah RM184.8 bilion daripada RM157.3 bilion pada Februari 2021.

"Eksport dan import masing-masing melonjak kepada 16.8 peratus dan 18.4 peratus tahun ke tahun dengan merekodkan RM102.3 bilion dan RM82.5 bilion, menyumbang kepada lebihan dagangan yang melebar sebanyak 10.7 peratus,” katanya.

Beliau berkata, tenaga buruh Malaysia juga pulih secara beransur-ansur pada 2021 dengan kedudukan lebih baik dijangka pada tahun ini.

"Jangkaan itu bersandarkan kepada pendekatan yang lebih bersasar diambil untuk menguruskan situasi kesihatan awam terutama pada separuh kedua 2021 berbanding sekatan menyeluruh yang dilaksanakan pada tahun sebelumnya,” katanya.

Beliau berkata, di samping pelbagai inisiatif oleh kerajaan, pembukaan semula aktiviti ekonomi secara berterusan dengan waktu perniagaan yang lebih panjang serta kebenaran kepada aktiviti sosial dan perjalanan rentas negeri telah menyumbang dengan ketara dalam merangsangkan prestasi ekonomi Malaysia.

Fasa peralihan ke endemik yang berkuat kuasa mulai 1 April 2022 telah membuka lebih banyak peluang di mana perniagaan dibenarkan beroperasi seperti mana sebelum pandemik manakala sempadan antarabangsa kembali dibuka, katanya. - Bernama