Aidilfitri: Penduduk Kuala Terengganu dijangka nikmati bekalan air bersih

Penduduk Kuala Terengganu dijangka akan nikmati bekalan air bersih sepanjang musim perayaan apabila LRA Losong mula beroperasi pada Sabtu. - Gambar hiasan
Penduduk Kuala Terengganu dijangka akan nikmati bekalan air bersih sepanjang musim perayaan apabila LRA Losong mula beroperasi pada Sabtu. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA TERENGGANU - [DIKEMAS KINI] Penduduk Kuala Terengganu dijangka akan nikmati bekalan air bersih sepanjang musim perayaan apabila Loji Rawatan Air (LRA) Losong mula beroperasi pada Sabtu.

Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Terengganu (SATU), Ts Abdul Karim Endut berkata, pengoperasian sementara LRA Losong Pakej Baharu yang bermula pada Sabtu sekali gus memastikan tiada bekalan air secara berjadual penduduk daerah Kuala Terengganu menjelang Aidilfitri.

"Loji Rawatan Air (LRA) Losong memulakan pakej berkapasiti penuh 44 juta liter sehari (JLH) dimana sebahagian operasinya pada kapasiti 20 JLH telah bermula pada Sabtu.

"Ia sekali gus akan memastikan penduduk daerah Kuala Terengganu mendapat bekalan air bersih menjelang perayaan," katanya dalam kenyataan disini, pada Sabtu.

Dalam pada itu, katanya, pengoperasian LRA Losong meliputi sehingga 30,000 akaun pengguna melibatkan tangki Bukit Kecil.

Katanya, bekalan berjadual yang dihadapi oleh penduduk selama beberapa tahun kini telah menemui jalan penyelesaian.

“Pihak SATU secara rasminya ingin memaklumkan bahawa sebahagain operasi LRA Losong berkapasiti 20 JLH telah bermula hari ini (Sabtu).

"Dengan bermulanya sebahagian operasi ini, masalah bekalan air yang sering terjadi di Bukit Kecil akan dapat diatasi dalam jangka masa yang panjang sehingga tahun 2030," katanya.

Informasi mengenai perkhidmatan air boleh didapati menerusi saluran komunikasi seperti laman sesawang www.satuwater.com.my, aplikasi MySATU, Facebook, Instagram, atau hubungi careline di talian 1300-88-2111 jika mempunyai sebarang pertanyaan dan aduan.