Rayuan BKM dibuka mulai Isnin ini

Tengku Zafrul
Tengku Zafrul
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memaklumkan tempoh rayuan bagi permohonan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) akan dibuka selama sebulan bermula Isnin ini.

Beliau berkata, ia bertujuan untuk membantu individu yang gagal dalam permohonan BKM sebelum ini.

“Pemohon boleh mengemukakan rayuan beserta dokumen yang berkaitan untuk disemak semula oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM).

“Proses rayuan ini juga bagi memastikan bantuan dapat disampaikan kepada mereka yang benar-benar memerlukan. Permohonan rayuan boleh dibuat melalui kaedah secara dalam talian bermula 2 Mei ini melalui portal rasmi BKM LHDNM di https://bkm.hasil.gov.my.

“Pemohon juga boleh mengemukan borang rayuan secara manual bermula 9 Mei di mana-mana cawangan berhampiran seperti Pejabat Satelit, Pusat Khidmat Hasil (PKH), ataupun Pusat Transformasi Bandar (UTC) LHDNM,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, setelah pangkalan data BKM dikemaskini, pembayaran rayuan BKM kepada pemohon yang lulus akan disalurkan pada bayaran Fasa Tiga dan Fasa Empat yang dijadualkan pada September 2022 dan Disember 2022.

“Pemohon rayuan BKM boleh merujuk soalan lazim (FAQ) yang telah dimuat naik di portal rasmi BKM bagi mendapatkan maklumat lanjut,” katanya.

Sehubungan itu, katanya kerajaan akan memastikan bantuan yang diperuntukkan itu sampai kepada mereka yang disasarkan bagi menjamin kesejahteraan Keluarga Malaysia keseluruhannya.

Tambah beliau, kerajaan juga telah mengemaskini data golongan B40 yang layak menerima BKM dan setakat ini hampir RM2.0 billion bantuan Fasa Satu telah disalurkan kepada hampir 9.0 juta penerima B40 seluruh negara pada bulan Mac yang lalu.

“Manakala bayaran Fasa Dua sebanyak RM1.1 bilion pula akan dibuat pada bulan Jun ini,” katanya.