Jualan Semarak Syawal FAMA sasar jualan RM28 juta

Ahmad (dua dari kanan) mengiringi Onn Hafiz (tiga dari kanan) ketika membuat lawatan di Pasar Tani Jalan Datin Halimah di sini, pada Sabtu.
Ahmad (dua dari kanan) mengiringi Onn Hafiz (tiga dari kanan) ketika membuat lawatan di Pasar Tani Jalan Datin Halimah di sini, pada Sabtu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menyasarkan hasil jumlah jualan sehingga RM28 juta menerusi pelaksanaan Program Jualan Semarak Syawal 2022 yang dianjurkan sejak 24 April hingga 2 Mei depan.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, perkara itu selepas melihat kesesuaian dan potensi besar inisiatif pertama kali dianjurkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) berkenaan.

Beliau berkata, pelaksanaan program itu juga dilihat berupaya memberi manfaat kepada kira-kira 12,400 pengusaha yang terlibat dalam operasi jualan di 797 outlet jualan merangkumi di pasar tani, pasar tani kekal, Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), agrobazar rakyat, agrobazar kedai rakyat (AKR), Myfarm Outlet dan medan niaga satok.

"Nilai jualan di outlet pemasaran yang disediakan ini disasarkan akan mencecah sehingga RM25 juta pada permulaan bagaimanapun kita menerima data terbaharu setakat semalam (Jumaat) sahaja sebanyak 390 outlet pemasaran telah menyumbang nilai jualan sebanyak RM10 juta.

“Justeru, kita menjangkakan sebanyak 2,298 kali lagi operasi outlet akan berlaku dengan tambahan RM17 juta nilai jualan sekali gus menjadikan keseluruhan nilai jualan sebanyak RM28 juta iaitu melebihi dari sasaran awal," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir Majlis Pelancaran Program Jualan Semarak Syawal Peringkat Negeri Johor di Pasar Tani Jalan Datin Halimah, di sini, pada Sabtu. Hadir sama bagi menyempurnakan itu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Mengulas mengenai program berkenaan, Ahmad memaklumkan, ia merupakan inisiatif kerajaan untuk memberi peluang kepada usahawan agromakanan di seluruh negara mengadakan jualan hasil ladang sebelum menjelangnya perayaan Aidilfitri tahun ini.

"Usaha ini juga adalah bagi membolehkan pengguna turut mendapatkan barangan keperluan yang segar dengan harga berpatutan. Kita juga telah mengarahkan pasukan petugas untuk memastikan barangan dengan harga kawalan tidak boleh dinaikkan harga dengan sesuka hati," katanya.

Sementara itu, Ahmad berkata, Johor negeri paling banyak mempunyai outlet bagi program berkenaan iaitu 97 lokasi daripada 797 yang dianjurkan di seluruh negara.

Beliau berkata, sejak permulaan program berkenaan di negeri ini pada 24 Mei lalu, ia telah melibatkan penglibatan seramai 581 pemasar dengan jangkaan kira-kira 45,000 pengunjung.

"FAMA Negeri Johor juga turut meletakkan sasaran nilai jualan sebanyak RM2 juta bagi pelaksanaan porgram di negeri ini yang mana akan merangkumi hasil julan sebanyak 120 metrik tan bekalan keperluan hari raya.

"Kesemua 97 outlet ini juga telah pun beroperasi dengan kekerapan sebanyak 679 kali dan telah menyumbang kepada nilai jualan sebanyak RM1.5 juta. Signifikannya di Johor ini adalah kita juga mengalu-alukan kunjungan pengunjung daripada negara jiran kita iaitu Singapura," katanya.