Kenderaan banyak, aliran trafik masih lancar

Mior Faridalathrash (kiri) menyantuni pengguna jalan raya yang dalam perjalanan pulang ke kampung sempena Program Go To Safety Point (GTSP) dan Pemantauan Lalu Lintas di Stesen Minyak Shell Simpang Pulai (arah utara) dekat kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), pada Sabtu.
Mior Faridalathrash (kiri) menyantuni pengguna jalan raya yang dalam perjalanan pulang ke kampung sempena Program Go To Safety Point (GTSP) dan Pemantauan Lalu Lintas di Stesen Minyak Shell Simpang Pulai (arah utara) dekat kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), pada Sabtu.
A
A
A

GOPENG - Keadaan aliran trafik menuju utara di Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Gopeng di sini, bergerak lancar meskipun berlaku pertambahan kenderaan.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, hasil pemantauan mendapati, tiada sebarang kesesakan luar biasa berlaku sehingga pagi Sabtu.

"Laporan daripada Plus (Plus Malaysia Bhd) memang kenderaan dilaporkan meningkat banyak di atas jalan raya, tetapi keadaan masih lagi lancar dan terkawal," katanya ketika ditemui dalam Program Go To Safety Point (GTSP) dan Pemantauan Lalu Lintas di Stesen Minyak Shell Simpang Pulai (arah utara) dekat kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di sini awal pagi Sabtu.

Hadir sama, Pengusaha Stesen Minyak Shell Simpang Pulai (arah Utara), Som Pon Nai Peroi.

Terdapat 270 stesen minyak di Perak menyertai program GSTP yang antara lain bertujuan menyediakan satu tempat selamat kepada orang awam ketika menghadapi situasi kecemasan sama ada mangsa jenayah atau terlibat kemalangan.

Mior Faridalathrash berkata, Polis Perak telah mengatur gerak beberapa penugasan rondaan, kawalan lalu lintas dan sekatan jalan raya di setiap daerah bagi mengawal aliran trafik kenderaan.

Terdapat 270 stesen minyak di Perak telah menyertai program GSTP yang antara lain bertujuan menyediakan satu tempat selamat kepada orang awam.
Terdapat 270 stesen minyak di Perak telah menyertai program GSTP yang antara lain bertujuan menyediakan satu tempat selamat kepada orang awam.

Katanya, pendekatan Omnipresence juga digunakan di kawasan tumpuan ramai termasuk R&R bagi melahirkan rasa selamat kepada orang awam.

"Ramai tadi yang saya tanya mereka bertolak awal dari Kuala Lumpu, Johor dan Melaka untuk sampai tengah malam di Gopeng ini.

"Mereka maklumkan aliran agak sesak juga, tetapi lalu lintas berjalan lancar," katanya.

Media sebelum ini melaporkan lebih 4 juta kenderaan akan memasuki Perak melalui Lebuhraaya Utara-Selatan menuju utara menjelang sambutan Aidilfitri tahun ini.

Limpahan kenderaan itu berlaku khususnya pada waktu puncak iaitu Sabtu dan Ahad ini dengan anggaran 2 juta kenderaan masuk sehari.

Sementara itu, Pengguna jalan raya, Mohd Hasan Abd Hamid, 45, berkata, perjalanan dari Nilai, Negeri Sembilan bermula jam 9 malam pada Jumaat lancar dan hanya mengalami sedikit kesesakan selepas laluan Behrang.

Dia bersama tiga ahli keluarga lain yang dalam perjalanan ke Balik Pulau, Pulau Pinang memang sudah menjangkakan kenderaan banyak di lebuh raya dan sudah mempersiapkan diri sekiranya terpaksa berdepan kesesakan.

"Kalau ikutkan keadaan lalu lintas ini masih lagi ok, walaupun banyak kenderaan, masih dapat jalan, tak adalah tersekat berjam-jam sepertimana kebiasaan," katanya.

Dari kiri: Nur Hazirah dan Mohd Hassan
Dari kiri: Nur Hazirah dan Mohd Hassan

Seorang lagi pengguna jalan raya, Nur Hazirah Zakirah Hamran, 24, dari Kuantan, Pahang memulakan perjalanan pulang ke Changlun, Kedah sebaik habis waktu bekerja sekitar jam 5.30 petang.

Berdasarkan keadaan aliran trafik yang lancar, dia menjangkakan dapat tiba ke destinasi sekitar jam 4 pagi.

"Trafik sangat lancar, tak lah sesak sangat, kalau sesak pun memang saya dah jangka kerana raya tahun ini memang ramai orang nak pulang ke kampung masing-masing," katanya.