Pameran Matta catat jualan RM22 juta

Matta Fair 2019 - Foto Bernama
Matta Fair 2019 - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pameran Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) yang berlangsung pada 15 hingga 17 Mac telah menarik 113,685 pengunjung, rekod tertinggi sejak persatuan mula menganjurkan acara itu pada 1991.

Matta 2019 telah merekodkan nilai anggaran jualan sebanyak RM220 juta, berbanding hanya RM210 juta yang dicatatkan pada Matta 2018, yang diadakan pada Sept tahun lepas dengan kehadiran 93,084 pengunjung.

Presiden Matta Datuk Tan Kok Liang berkata, rekod terbaharu tersebut telah mengukuhkan kedudukan Pameran Matta sebagai acara pelancongan yang terbesar di negara ini.

"Pameran selama tiga hari itu mencatatkan peningkatan pengunjung sebanyak 22 peratus berbanding pameran sebelum ini, adalah sesuatu yang sangat mengujakan apabila melihat pengunjung berterusan beratur di kaunter tiket walaupun berlaku ketidaktentuan ekonomi disebabkan oleh faktor-faktor seperti Brexit dan perang perdagangan Amerika Syarikat-China," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tan berkata, sekarang ini, pengguna lebih suka terlibat secara langsung dengan pameran itu apabila dilihat banyak membeli pakej percutian daripada pameran berbanding melakukannya secara dalam talian.

"Walaupun mekanisme Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sedang diperhalusi oleh pihak berkuasa, banyak ejen menyerap SST supaya pelanggan masih boleh membeli pada harga yang kompetitif," katanya.

Pameran Matta seterusnya akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, pada 6-8 Sept akan datang. - Bernama

Artikel Berkaitan: