Pelancong AS bawa peluru meriam di lapangan terbang Israel

Peluru meriam yang dibawa oleh sebuah keluarga AS di sebuah lapangan terbang antarabangsa di Israel baru-baru ini. - Foto Twitter/@James_J_Marlow
Peluru meriam yang dibawa oleh sebuah keluarga AS di sebuah lapangan terbang antarabangsa di Israel baru-baru ini. - Foto Twitter/@James_J_Marlow
A
A
A

TEL AVIV - Sebuah keluarga yang juga pelancong dari Amerika Syarikat (AS) mencetuskan panik dan keadaan kelam-kabut di sebuah lapangan terbang di Tel Aviv baru-baru ini.

Keadaan itu berlaku apabila anggota-anggota keselamatan Israel mendapati terdapat sebuah peluru meriam lama di dalam satu beg yang mereka bawa ketika pemeriksaan dilakukan di Lapangan Terbang Ben Gurion.

Menurut seorang koresponden saluran televisyen Channel 11, keluarga tersebut menemui peluru itu ketika melawat Bukit Golan yang kini dijajah rejim Zionis selepas merampasnya dari Syria dalam Perang Enam Hari pada tahun 1967.

Salah seorang anak keluarga tersebut menemui peluru itu dan mahu membawanya pulang ke AS sebagai cenderamata.

Menurut pihak berkuasa lapangan terbang, keluarga berkenaan menunjukkan peluru meriam tersebut kepada pihak keselamatan.

Pihak keselamatan kemudian terpaksa membuat pengumuman bagi meminta orang ramai keluar dari lapangan terbang tersebut sebagai langkah berjaga-jaga.

Ia menyebabkan keadaan panik dan kelam-kabut berlaku menyebabkan seorang lelaki Israel terpaksa berlari ke atas mesin penghantaran beg-beg penumpang mengakibatkannya terjatuh sehingga menyebabkan kecederaan dan terpaksa menerima rawatan perubatan di sebuah hospital.

Pengguna-pengguna rangkaian sosial turut menyiarkan video yang menunjukkan orang ramai berbaring di atas lantai kerana bimbang kemungkinan letupan akan berlaku.

Bagaimanapun, tiada letupan berlaku dalam kejadian pada Khamis lalu.

Selepas pihak keselamatan mendapati tiada lagi risiko bahaya yang akan berlaku, para pengembara dibenarkan memasuki semula ke dalam lapangan terbang tersebut.

Keluarga itu kemudian dibenarkan menaiki pesawat pulang ke AS selepas siasatan singkat dilakukan tetapi mereka tidak dibenarkan membawa bom itu bersama-sama. - Agensi