Mahu batal permohonan komital diperoleh AG

Tan-Sri-Muhammad-Shafee-Abdullah
Tan-Sri-Muhammad-Shafee-Abdullah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah akan memfailkan permohonan untuk mengetepikan kebenaran yang diperoleh Peguam Negara untuk memulakan prosiding komital (hina mahkamah) terhadapnya.

Kebenaran prosiding komital itu diperoleh Peguam Negara terhadap Muhammad Shafee berhubung kenyataan media yang dibuatnya berkaitan kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Perkara itu dimaklumkan oleh David Thomas Matthews yang mewakili Muhammad Shafee selepas selesai prosiding itu dalam kamar Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Firuz Jaffril.

David berkata, pihaknya memerlukan lanjutan masa untuk memfailkan permohonan kerana beliau sedang bercuti atas masalah kesihatan bermula 15 hingga 29 Mac.

Sehubungan itu Mohd Firuz melanjutkan tempoh tiga minggu lagi iaitu pada 23 Mei depan untuk mendengar hujahan Muhammad Shafee.

Pada masa yang sama peguam itu memaklumkan Muhammad Shafee tidak dapat menghadiri prosiding itu kerana berada di Australia kerana sedang mengendalikan satu kes di sana.

Pada 1 Mac, Mohd Firuz membenarkan permohonan yang dikemukakan Thomas untuk memulakan prosiding komital terhadap Muhammad Shafee secara sebelah pihak (ex-parte).

Peguam Negara berkata, Muhammad Shafee adalah seorang peguam bela dan peguam cara, yang mewakili Najib (tertuduh), yang didakwa di Mahkamah Tinggi di sini atas beberapa kesalahan berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pada 7 Februari lalu, selepas selesai prosiding membabitkan tertuduh di Mahkamah Tinggi, defendan diwawancara beberapa wartawan di luar kamar mahkamah dan ia dirakam oleh seorang juruvideo dari Kinitv.com serta disiarkan oleh Kinitv yang boleh dilayari di https://m.kinitv.com/video/70311O8.

Thomas mendakwa defendan mengetahui atau sepatutnya mengetahui bahawa kenyataannya yang menyinggung perasaan itu adalah menghina hakim dan boleh menjejaskan pelaksanaan keadilan dan keyakinan orang ramai terhadap sistem keadilan di Malaysia.

Beliau berkata, defendan mengetahui atau sepatutnya mengetahui bahawa kenyataannya yang menyinggung perasaan itu sudah tentu akan, dengan secara jelas, meletakkan hakim perbicaraan pada satu kedudukan yang memalukan dan mewujudkan satu ketidaktentuan mengenai keadilan dan kesaksamaan keputusan kes jenayah itu.

Beliau mendakwa kata-kata itu dituturkan dengan sengaja oleh defendan dengan niat hendak cuba memberi tekanan dan mempengaruhi keputusan mahkamah dalam kes jenayah itu.