Malaysia mampu isi jurang eksport minyak sawit ditinggalkan Indonesia

Foto hiasan
Foto hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi kekal optimis bahawa Malaysia mampu mengisi jurang eksport minyak sawit ke pasaran dunia berikutan larangan Indonesia terhadap eksport komoditi itu.

Menterinya, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, beliau mengulangi keyakinan itu berdasarkan beberapa faktor, antaranya kemasukan 32,000 pekerja asing untuk sektor perladangan seperti yang diluluskan kerajaan pada Februari.

Katanya, beliau turut menjangkakan pengeluaran dan eksport minyak sawit akan meningkat sehingga 30 peratus menjelang akhir tahun ini, sekali gus mengisi jurang eksport minyak sawit ke pasaran dunia.

"Malaysia boleh meningkatkan pengeluaran sawit berikutan kita sudah membuka sempadan antarabangsa serta proses kelulusan permohonan dan kemasukan pekerja asing telah bermula di bawah kuota khas.

"Dulu pandemik, pengeluaran rendah kerana kita kekurangan pekerja asing. Sekarang, pekerja sudah masuk, kuantiti pengeluaran akan tinggi. Justeru, kita akan mampu menampung keperluan dunia,” katanya pada Majlis Iftar Kasih Ramadan dan Penyampaian Bantuan anjuran Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia (IMPAC) hari ini.

Di samping itu, Zuraida berkata, faktor lain yang akan menyokong Malaysia dalam memenuhi jurang permintaan minyak sawit adalah keputusan China yang dijangka akan memasarkan rizab minyak yang terbuktinya.

Terdahulu, The Edge melaporkan Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, Malaysia tidak mampu mengisi jurang bekalan minyak sawit yang ditinggalkan Indonesia.

"Malaysia mungkin tidak dapat menyerap banyak lebihan permintaan berdasarkan saiz pasaran yang besar yang ditinggalkan oleh Indonesia. Selain itu, Malaysia masih menghadapi isu pengeluaran minyak sawit berikutan kekurangan tenaga kerja walaupun keadaan pengeluaran kini bertambah baik,” Parveez memberitahu theedgemarkets.com.

Dalam perkembangan lain, Pengerusi IMPAC Datuk Zunaidah Idris berkata, institusi itu akan mewujudkan kerjasama dengan beberapa universiti untuk melahirkan tenaga mahir dalam industri perladangan pada Jun ini.

"Bagaimanapun, program pendedahan selama tiga bulan itu akan bermula dalam masa terdekat (sebelum Jun) dan diikuti latihan industri sebelum ditempatkan dalam industri perladangan,” katanya.

Katanya, program pendedahan itu bakal memberi manfaat kepada graduan untuk mencari pekerjaan kerana ia meliputi 70 peratus latihan praktikal dan 30 peratus teori. - Bernama