120,000 kenderaan dijangka masuk Kota Setar sehingga Aidilfitri

Ahmad Shukri (kiri) menyampaikan cenderahati sambil beramah mesra dengan pengguna lebuh raya yang masuk ke Alor Setar melalui Plaza Tol Alor Setar Selatan pada Jumaat.
Ahmad Shukri (kiri) menyampaikan cenderahati sambil beramah mesra dengan pengguna lebuh raya yang masuk ke Alor Setar melalui Plaza Tol Alor Setar Selatan pada Jumaat.
A
A
A

ALOR SETAR - Lebih 120,000 kenderaan dijangka memasuki daerah Kota Setar sehingga sambutan Hari Raya Aidilfitri pada 3 Mei ini.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, kesemua kenderaan berkenaan dijangka masuk melalui Plaza Tol Alor Setar Utara dan Plaza Tol Alor Setar Selatan.

Beliau turut menjangkakan jumlah kenderaan akan bertambah dari semasa ke semasa berikutan ramai perantau mulai pulang ke kampung ketika ini.

"Bagaimanapun keadaan trafik masih terkawal dan belum ada kemalangan maut dicatatkan setakat ini," katanya ketika ditemui selepas menyampaikan cenderahati kepada pengguna jalan raya di Plaza Tol Alor Setar Selatan sempena program advokasi serta majlis berbuka puasa bersama petugas trafik di sini pada Jumaat.

Menurutnya, pihak polis sentiasa bersiap sedia menerusi Op Selamat 18/2022 dalam memastikan pengguna mematuhi peraturan jalan raya selain mengurangkan kadar kemalangan dan kematian.

"Sebelum Covid-19, dalam Op Selamat 15/2019 jumlah kemalangan adalah sebanyak 329 kes, kematian dua kes dan saman yang dikeluarkan sebanyak 4,253. Dalam operasi tahun ini, masih belum ada sebarang kematian yang dicatatkan," katanya.

Ahmad Shukri berkata, satu pasukan Jammed Squad yang terdiri daripada seorang pegawai dan enam anggota turut ditugaskan sebagai respons utama bagi menyuraikan kesesakan jalan raya yang berlaku.

"Kita juga menetapkan anggota di kawasan persimpangan yang kerap berlaku kesesakan jalan raya supaya aliran trafik lebih lancar," katanya.

Beliau berkata, polis turut memohon kerjasama pengguna jalan raya untuk menyalurkan aduan dan maklumat berhubung kesalahan trafik dengan menghantar bukti gambar dan video.

"Kita akan memuat naik gambar atau video kesalahan yang dilakukan oleh pengguna jalan raya di laman media sosial Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar sebagai pengajaran kepada pengguna yang lain," katanya.