Indonesia sumbang 3.1 tan bantuan kemanusiaan kepada Sri Lanka

Sri Lanka berdepan krisis ekonomi disebabkan kekurangan mata wang asing dan negara itu telah menghentikan pembayaran balik hutang luar negara pada 12 April. - Foto AFP
Sri Lanka berdepan krisis ekonomi disebabkan kekurangan mata wang asing dan negara itu telah menghentikan pembayaran balik hutang luar negara pada 12 April. - Foto AFP
A
A
A

JAKARTA - Kerajaan Indonesia menyumbang 3.1 tan bantuan kemanusiaan, yang terdiri daripada ubat-ubatan dan peralatan perubatan, bernilai 22.1 bilion rupiah (US$1.6 juta) kepada Sri Lanka yang mengalami kekangan kewangan.

Kumpulan pertama bantuan kemanusiaan dihantar pada Khamis yang terdiri daripada lapan ubat sitostatik dan enam alatan perubatan bernilai 4.5 bilion rupiah manakala bantuan seterusnya dijadualkan pada 8 Mei.

"Sri Lanka adalah rakan kongsi penting bagi Indonesia, semoga bantuan ini dapat meringankan beban rakyatnya,” kata Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Indonesia Kunta Wibawa Dasa Nugraha dalam satu kenyataan hari ini.

Majlis penyerahan bantuan berlangsung pada Khamis di lapangan terbang Soekarno-Hatta dan disampaikan kepada Duta Besar Sri Lanka ke Indonesia dan ASEAN, Yasoja Gunasekera.

Sembilan syarikat farmaseutikal dan syarikat peranti perubatan Indonesia menyumbang bantuan itu.

Sri Lanka berdepan krisis ekonomi disebabkan kekurangan mata wang asing dan negara itu telah menghentikan pembayaran balik hutang luar negara pada 12 April. - Bernama