Kartel ayam: MyCC gesa henti spekulasi kaitkan ahli politik

Foto hiasan
Foto hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) menafikan bahawa pihaknya sedang menyiasat ahli politik tertentu berhubung siasatan terhadap industri ayam.

Menegaskan pihaknya memandang serius penyebaran maklumat tidak tepat dan mengelirukan, Ketua Pegawai Eksekutif MyCC, Iskandar Ismail berkata, siasatan berkaitan perkara itu sedang berjalan lancar dan hanya menumpukan kepada sekumpulan pemain industri ayam dengan tingkah laku mereka mungkin menimbulkan isu persaingan tertentu di bawah Seksyen 4 Akta Persaingan 2010.

"Anggapan bahawa MyCC sedang menyiasat ahli politik tertentu adalah spekulasi semata-mata,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, terdapat juga kekeliruan dalam kalangan orang ramai mengenai definisi 'kartel' di bawah Akta Persaingan 2010.

"Kartel dibentuk melalui perjanjian sulit antara pesaing-pesaing dalam pasaran sama. Sebelum mana-mana kartel boleh dibentuk, perlu ada sekurang-kurangnya dua pesaing yang bersetuju bersekongkol untuk tidak bersaing dalam pasaran berkaitan.

"Biasanya, kumpulan pesaing ini telah bersetuju, antara lain, untuk menetapkan harga produk mereka pada harga yang sama, atau membahagikan pasaran mereka, atau mengehadkan pengeluaran mereka,” katanya.

Iskandar berkata, kartel bukanlah monopoli dan begitu juga sebaliknya dengan monopoli adalah satu perusahaan yang mempunyai kawalan sepenuhnya dalam sesuatu pasaran produk atau perkhidmatan.

"Jika terdapat lebih daripada seorang pemain dalam pasaran tersebut, satu atau lebih daripada satu perusahaan boleh berada dalam kedudukan dominan jika mereka memegang lebih kurang 60 peratus pasaran.

"Oleh itu, percubaan untuk menyamakan kartel dan monopoli sebagai satu konsep yang sama adalah salah sama sekali,” katanya.

Beliau berkata, sehubungan itu, MyCC berharap orang ramai dan rakan-rakan media memahami kerumitan penyiasatan yang melibatkan ramai pemain dalam rantaian bekalan yang luas dengan pelbagai subsektor.

"Penyiasatan yang teliti dan terperinci diperlukan dan ia mungkin mengambil masa. Kami menggalakkan pihak yang merasakan mereka terlibat dalam amalan kartel dalam industri ayam datang ke MyCC untuk memohon kelonggaran di bawah Seksyen 41 Akta Persaingan 2010 sebelum mereka disiasat,” katanya yang menggesa semua pihak supaya berhenti daripada membuat sebarang spekulasi bagi mengelak gangguan terhadap penyiasatan MyCC dan kekeliruan dalam kalangan orang ramai.

MyCC turut menggalakkan perusahaan, pihak berkepentingan yang berkaitan dan orang ramai untuk tampil ke hadapan dalam membantu MyCC dengan pihak yang berminat dinasihatkan menghubungi MyCC di talian 03-2273 2277 (IED) atau emel di complaints@mycc.gov.my.

Media tempatan sebelum ini melaporkan campur tangan politik sejak sekian lama dalam isu membabitkan dominasi kartel dalam industri penternakan ayam di seluruh negara menyebabkan pihak terbabit terus bermaharajalela.

Laporan media berkenaan turut mendedahkan bahawa kartel turut menguasai pasaran harian berjumlah 1.5 juta ekor ayam, iaitu 70 peratus daripada keseluruhan 2.2 juta ekor ternakan itu yang dijual di seluruh negara setiap hari. - Bernama