X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 25 Jun 2022

Polis tumpu 39 kawasan hitam, panas di Perak

Mior Faridalathrash (dua dari kiri) memakaikan topi keledar baharu kepada salah seorang penunggang motosikal pada pelancaran Op Selamat 18 dan Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Hari Raya Aidilfitri Peringkat Perak di Ipoh pada Jumaat.
A
A

IPOH - Polis Perak akan memberi tumpuan di 39 kawasan panas (hotspot) dan hitam (blackspot) yang sering berlaku kesesakan aliran lalu lintas serta kemalangan maut pada Op Selamat 18 bermula Jumaat hingga 8 Mei ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, ia bagi meminimumkan kes-kes kemalangan jalan raya terutama melibatkan nahas maut di sembilan daerah negeri ini.

"Kawasan blackspot melibat tiga lokasi di daerah Muallim, Taiping (empat), Manjung (lima), Hilir Perak (dua) dan tiga lokasi di Gerik.

"Manakala kawasan hotspot pula melibatkan empat lokasi di daerah Manjung dan Taiping; tiga lokasi di Tapah, Hilir Perak, Perak Tengah dan Kerian serta masing-masing satu lokasi di Kampar, Muallim dan Batu Gajah," katanya selepas melancarkan Op Selamat 18 dan Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Hari Raya Aidilfitri Peringkat Perak di Plaza Tol Ipoh Selatan arah utara di sini pada Jumaat.

Hadir sama, Ketua Eksekutif Persatuan Keselamatan Sosial (Perkeso), Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed dan Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris.

Menurutnya, tindakan saman akan dikenakan kepada pengguna jalan raya yang melakukan lima kesalahan utama.

"Kesalahan itu adalah memandu melebihi had laju, memandu di lorong kecemasan, memotong garisan berkembar, memotong barisan dan tidak mematuhi lampu isyarat.

"Bagi kesalahan menggunakan alat komunikasi semasa memandu, pesalah tidak dikenakan kompaun sebaliknya perlu hadir ke mahkamah untuk perbicaraan," katanya.

Mior Faridalathrash berkata, Op Selamat kali ini turut menumpukan keselamatan harta benda dan premis kediaman serta menurunkan kadar jenayah pecah rumah semasa musim perayaan.

"Rondaan akan dilakukan oleh pasukan kereta peronda (MPV), Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan rondaan cegah jenayah di rumah dan premis yang ditinggalkan.

"Orang ramai disarankan untuk memaklumkan kepada polis berhubung ketiadaan di rumah menerusi borang maklumat balik kampung di balai berhampiran atau aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP)," katanya.

Katanya, Jabatan Pengangkutan Jalan telah mengeluarkan larangan pemanduan kenderaan barangan pada Sabtu, Ahad dan Isnin serta 7 dan 8 Mei ini.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!