Polis edar gambar 61 tahanan Rohingya masih lolos

Wan Hassan (kanan) beramah mesra sambil bertanya khabar petugas PGA selepas menyerahkan sumbangan raya kepada mereka di sempadan Malaysia-Thailand, Bukit kayu hitam di sini pada Jumaat.
Wan Hassan (kanan) beramah mesra sambil bertanya khabar petugas PGA selepas menyerahkan sumbangan raya kepada mereka di sempadan Malaysia-Thailand, Bukit kayu hitam di sini pada Jumaat.
A
A
A

KUBANG PASU - Polis Kedah akan mengedarkan senarai nama dan gambar 61 tahanan Rohingya yang masih bebas selepas melarikan diri dari Depot Tahanan Imigresen Sementara Relau, di Bandar Baharu pada 20 April lalu.

Ketua Polis Kedah, Wan Hassan Wan Ahmad berkata, siasatan kes terbabit sedang dikemas kini dan identiti mereka akan diedarkan kepada media massa dalam masa terdekat.

Katanya, langkah itu untuk memudahkan pengecaman sekiranya tahanan berkenaan ditangkap oleh lain-lain penguat kuasa.

"Kalau kita tidak dedahkan maklumat, mungkin pihak lain yang tangkap mereka tidak tahu kes ini, nama mungkin mereka boleh menyamar, tukar-tukar," katanya ketika mengadakan lawatan kerja ke Markas Taktikal (MARTAK) Pasukan Gerakan Am (PGA) Bukit Kayu Hitam untuk menyampaikan sumbangan raya kepada petugas PGA di sini pada Jumaat.

Menurutnya, beliau berharap pendedahan identiti itu nanti akan membantu penangkapan baki tahanan terbabit.

"Jadi bila keluar gambar, ada tangkapan di Kuala Lumpur atau Selangor mereka boleh bandingkan dan tahu yang mereka itu pernah lari dari pusat tahanan sebelum ini," katanya.

Setakat 25 April lalu, seramai 61 tahanan etnik Rohingya yang lolos dari depot terbabit masih lagi belum ditemukan.

Mereka terdiri daripada 51 lelaki dewasa, enam wanita dewasa, tiga kanak-kanak perempuan dan seorang kanak-kanak lelaki.

Sebahagian besar tahanan etnik Rohingya yang lolos dipercayai mahir mengenai keadaan negara.

Seramai 50 daripada 61 tahanan itu didapati berada di negara ini antara dua hingga tiga tahun sehingga membolehkan mereka dipercayai mengetahui cara untuk mengelak diri daripada dikesan dan ditahan semula.