Covid-19 semakin terkawal, kes baharu kekal bawah 5,000

Gambar Hiasan
Gambar Hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Biar pun belum menang sepenuhnya, kebenaran untuk 'balik kampung beraya' antara petunjuk keyakinan kerajaan dalam mengekang penularan Covid-19 dengan angka kes harian baharu kekal bawah 5,000 sejak lima hari lalu.

Ini diikuti beberapa kelonggaran protokol prosedur operasi standard (SOP) termasuk pemakaian pelitup muka, berkuatkuasa 1 Mei yang diumumkan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin pada Rabu (27 April).

Pada Khamis, sebanyak 2,935 kes harian baharu dilaporkan dengan rekod kes terendah dicatat pada 25 April iaitu 2,478 kes. Kali terakhir negara mencatat kes terendah sekitar 2,000 pada 2022 ialah pada 17 Januari iaitu sebanyak 2,342.

Kes kumulatif Covid-19 negara setakat ini adalah sebanyak 4,443,318 sementara kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 menyusut kepada 53,776 kes.

Kes harian baharu Covid-19 tertinggi dicatat setakat ini untuk 2022 ialah sebanyak 33,406 direkod pada 5 Mac dengan kes aktif sebanyak 311,206 kes.

Bagaimanapun, jumlah kes harian baharu Covid-19 dijangka meningkat semula berikutan sambutan Hari Raya Aidilfitri dengan kepulangan beramai-ramai warga kota ke kampung halaman setelah dua tahun tidak dapat berbuat demikian kerana sekatan rentas negeri akibat pandemik Covid-19.

Risiko jangkitan meningkat memandangkan ramai yang pulang serentak dengan pergaulan antara keluarga dan sanak saudara termasuk aktiviti rumah terbuka.

Protokol baharu SOP

Artikel Berkaitan:

Mulai 1 Mei 2022, kerajaan akan melaksanakan beberapa kelonggaran SOP seperti berikut:-

Pelitup Muka - wajib di dalam bangunan termasuk pengangkutan awam dan kenderaan e-hailing/ pilihan apabila berada di luar bangunan dan kawasan terbuka tetapi digalakkan di kawasan sesak; individu berisiko tinggi digalakkan memakain pelitup mula;

Penjarakan fizikal - tidak lagi diperlukan/digalakkan dalam keadaan tidak memakai pelitup muka;

Daftar masuk (check-in) dan status vaksinasi MySejahtera - daftar masuk dimansuhkan/kemasukan ke premis dibenarkan tanpa mengira status vaksinasi kecuali mereka berstatus ‘Berisiko Timggi’ atau di bawah HSO (Home Surveillance Order/Perintah Pengawasan dan Pemerhatian);

Positif Covid-19 (Ujian dan Pelepasan) - Secara amnya, kes positif Covid-19 dikehendaki kuarantin selama 7 hari. Di bawah Ujian dan Pelepasan, mereka mempunyai pilihan untuk menjalani ujian RTK-Ag yang disedia pengamal perubatan pada hari ke-4. Jika negatif mereka boleh menamatkan kuarantin;

Mengembara - pengembara yang lengkap divaksinasi dan kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah dikecualikan daripada ujian pra-pelepasan dan semasa ketibaan; pengembara yang tidak lengkap vaksinasi atau tiada vaksinasi hendaklah menjalani ujian RT-PCR 2 hari sebelum berlepas dan ujian RTK-Ag yang diselia dalam tempoh 24jam selepas ketibaan. Mereka juga perlu dikuarantin selama 5 hari; Insurans COVID-19 tidak lagi diperlukan untuk semua pelancong yang memasuki Malaysia;

Senarai Negatif - senarai aktiviti yang dilarang Majlis Keselamatan Negara sebelum ini dibenarkan. Semua sektor ekonomi boleh beroperasi mulai 15 Mei 2022.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan mulai 1 April 2022, Malaysia memasuki fasa peralihan ke endemik sebagai "exit strategy” untuk membolehkan rakyat negara ini kembali semula kepada kehidupan yang hampir normal selepas dua tahun berperang dengan Covid-19.

Dengan sebanyak 4,443,318 kes kumulatif, Malaysia kini di tangga 23 daripada 226 buah negara/wilayah yang dilanda pandemik Covid-19 manakala di hadapan Malaysia ialah Ukraine (5,001,039) dan Mexico (5,736,579).

Dalam kalangan 226 buah negara, mengikut data terkini Worldometer, Jerman mencatat angka kes harian baharu tertinggi pada Khamis sebanyak 119,832 kes dengan 239 kematian, diikuti Itali 69,204 kes(131 kematian) dan Perancis 59,760 kes (132 kematian).

Sementara itu, data CovidNow KKM setakat jam 11:59 malam pada Khamis menunjukkan daripada 53,776 kes aktif COVID-19, sebanyak 52,261 kes (97.2 peratus) dikuarantin di rumah.

Sebanyak 48 kes (0.1 peratus) lagi di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC); 1,385 kes (2.6 peratus) di hospital; 28 kes (0.1 peratus) di Unit Rawatan Rapi (ICU) tanpa memerlukan Alat Bantuan Pernafasan (ABP) sementara 56 kes (0.1 peratus) di ICU memerlukan ABP.

Kadar kebolehjangkitan CovidD-19 atau Ro/Rt untuk seluruh negara sepanjang minggu ini kekal di bawah paras 1.00 dengan Putrajaya mencatat Ro/Rt tertinggi 1.05 pada Rabu diikuti Melaka (0.88) dan Kuala Lumpur (0.85).

Sementara itu, masih terdapat sebanyak 91 kluster aktif dalam negara setakat Rabu dengan 7,009 kluster keseluruhan dikesan dan 6,918 daripadanya ditamatkan.

Sepanjang tempoh minggu ini, hanya sebanyak 7 kluster dikesan, iaitu 5 (71.4 peratus) kluster pendidikan dan 2 (28.6 peratus) kluster kumpulan berisiko tinggi.