IPD Hulu Terengganu sedia pusat khidmat pelanggan bergerak di Tol Ajil

Mohd Adli (dua dari kiri) melihat pusat khidmat pelanggan IPD Hulu Terengganu yang ditempatkan di Tol Ajil.
Mohd Adli (dua dari kiri) melihat pusat khidmat pelanggan IPD Hulu Terengganu yang ditempatkan di Tol Ajil.
A
A
A

HULU TERENGGANU - Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu menyediakan pusat khidmat pelanggan bergerak menggunakan barangan terpakai untuk dijadikan pos operasi bergerak serbaguna (Mobile Operational Subtac) yang ditempatkan di Tol Ajil sepanjang Op Selamat Aidilfitri tahun ini.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, IPD Hulu Terengganu merupakan satu-satunya daerah yang menggunakan pendekatan kreatif yang dihasilkan pasukan Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) IPD berkenaan.

"Dengan adanya perkhidmatan ini pengguna jalan raya boleh mendapatkan khidmat dan bantuan PDRM tanpa perlu ke balai polis.

"Antara perkhidmatan disediakan ialah menerima borang pemakluman meninggalkan rumah, aduan kecemasan, pusat Informasi maklumat PDRM, memberikan respon dan tindakan segera ke atas aduan keselamatan serta sebagai pengkalan hadapan operasi sepanjang tempoh Ops Selamat, " katanya kepada pemberita pada Jumaat.

Beliau berkata, pos khidmat pelanggan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu akan beroperasi 24 jam sepanjang tempoh Op Selamat iaitu bermula pada 29 April hingga Mei 2022.

"PDRM Hulu Terengganu sentiasa berusaha untuk memastikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat," katanya.