MALBATT 850-9 sertai World #QuranHour di Lebanon

Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) 850-9 menjayakan World #QuranHour: Dunia Bersujud di Lebanon pada 26 April lalu
Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) 850-9 menjayakan World #QuranHour: Dunia Bersujud di Lebanon pada 26 April lalu
A
A
A

SHAH ALAM - Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) 850-9 buat julung kali menganjurkan World #QuranHour: Dunia Bersujud di Lebanon pada 26 April lalu.

Seramai 854 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berkhidmat di bawah Misi Pengaman Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) diketuai oleh Komander Kontinjen MALBATT 850-9, Kolonel Megat Maz Ardi Nohuddin.

Menurut Megat Maz Ardi, mereka menggalas tugas sebagai Pengaman UNIFIL dengan komited dan progresif berpandukan mandat yang diamanahkan selama setahun di sana.

Beliau berkata, program berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal merupakan platform terbaik untuk menggalakkan umat Islam untuk membaca al-Quran dan memahami isi kandungannya dengan lebih baik.

“Al-Quran adalah penting untuk mengingatkan diri kita kepada ALLAH SWT. Ia memberi ketenangan jiwa dengan membaca Kalam ALLAH SWT. Program tersebut secara langsung memberi peluang untuk kita bertadarus di bulan ini.

“Selain itu, Ramadan juga mengingatkan kita kepada peristiwa Perang Badar dan peperangan lain yang disertai oleh Rasulullah SAW, di mana ALLAH SWT membantu tentera Islam yang taat kepada ALLAH SWT dan Baginda SAW.

“Ini menjadikan kami lebih kuat dan bersemangat ketika berada di medan perjuangan kerana kita percaya dengan pertolongan ALLAH SWT. Kami juga teruja berkhidmat di bumi Lebanon, Bumi Anbiya’,” ujarnya.

Ditanya bagaimana perasaan bekerja di perantauan, beliau dan rakan seperjuangan tidak menafikan perasaan pilu apabila tidak dapat beraya bersama keluarga.

“Namun keluarga memahami kami yang bertugas demi negara.

“Pesan kami kepada keluarga, jaga diri dan kesihatan yang baik, memandu kereta dengan penuh berhemah dan berhati-hati. Makan ketupat dan kuih-muih jangan lupa kami jauh di perantauan,” katanya.