Biar pihak lelaki yang buka mulut: Ruhainies

A
A
A

PELAKON Ruhainies menafikan bakal melangsungkan perkahwinan dalam masa terdekat, sebaliknya menegaskan untuk memberi laluan terlebih dahulu kepada kakaknya, Nur Risteena yang akan mendirikan rumah tangga pada tahun ini.

Bagaimanapun, kata Ruhanies atau nama lengkapnya Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, 27, mengakui telah bersedia untuk ke arah itu, apatah lagi keluarga teman lelakinya yang dikenali sebagai Mr. E itu juga sudah datang berjumpa dengan kedua ibu bapanya.

“Soal nikah kahwin ini biarlah pihak lelaki yang buka mulut, saya hanya menurut sahaja apa yang terbaik untuk kami berdua.

“Jujurnya kami memang belum berbincang tentang nikah dan sebagainya kerana saya memang mahu memberi laluan kepada kakak saya dahulu. Bila dia selesai, barulah saya akan lebih serius fikirkan tentang majlis saya pula.

“Apa pun alhamdulillah hubungan kami berjalan lancar setakat ni. Malah keluarga dia pun dah datang jumpa ibu bapa saya. Bukan datang merisik, tapi sekadar berkenalan dan masing-masing menerima baik hubungan kami,” ujar Ruhainies kepada Sinar Harian.

Menurut pelakon Helo Mr. Perfect ini lagi, biarpun dia terpaksa berjauhan dengan teman lelaki yang kini bekerja dan menetap di London, ia sedikit pun tidak menggugat cinta mereka.

“Zaman sekarang bukan macam dulu. Kita boleh berhubung pada bila-bila masa sahaja menerusi video call atau pelbagai medium komunikasi dan jarak tidak pernah menjadi satu halangan.

“Biarpun jauh di mata, saya tidak pernah mencurigai kerana tahu dia seorang lelaki yang setia dan berrtanggungjawab, begitu juga dengan kepercayaan dia kepada saya.

Artikel Berkaitan:

“Paling saya tak sangka, walaupun dia kat London, tetapi ada sahaja kiriman hadiah yang dia bagi dan hantar ke rumah saya di sini. Kadang-kadang tak rasa langsung dia duduk jauh kerana dia sentiasa buat saya ingat dia,” luah Ruhanies yang ditemui di majlis pelancaran koleksi raya Mek Kembang Cotton baru-baru ini .

Ditanya adakah kemungkinan majlis perkahwinannya bakal berlangsung di London, Ruhainies tidak dapat memberikan kepastian.

“Belum lagi terfikir tentang itu. Tunggu dia masuk meminang dulu,” jawabnya berseloroh.