'Teruskan penganjuran Iftar Ala Madinah tahun depan'

Dari kiri: Muhammad Wa’ie, Fadhilah Hanim, Muhammad Fahimullah.
Dari kiri: Muhammad Wa’ie, Fadhilah Hanim, Muhammad Fahimullah.
A
A
A
SHAH ALAM - Program Iftar Ala Madinah @Karangkraf yang berlangsung sejak 4 April lalu dirindui ramai pengunjung memandangkan ia bakal melabuhkan tirainya pada Jumaat ini.

Seorang mahasiswa dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Muhammad Wa’ie Muhammad Rais, 24, berkata, program berbuka puasa seperti itu yang memberi peluang kepada orang ramai merasai suasana berbuka seperti berada di Masjid Nabawi, Madinah patut diteruskan penganjurannya tahun depan kerana ia memberi banyak manfaat kepada orang ramai.

Muhammad Wa’ie mengakui telah beberapa kali menyertai program Iftar Ala Madinah @Karangkraf pada tahun ini bersama rakannya untuk merasai sendiri pengalaman berbuka bersama orang ramai.

“Saya setuju jika program ini dilakukan lagi pada masa hadapan sebab ini benda baik, kita boleh berbuka bersama-sama.

“Makan di sini kita boleh makan secara percuma sebab ada yang memberi sumbangan, jadi dari situ kita boleh jimatkan belanja,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Sementara itu, suri rumah, Fadhilah Hanim Faizul, 34, berkata, ia merupakan kali kelima dia bersama keluarganya mengunjungi program Iftar Ala Madinah @Karangkraf untuk berbuka puasa.

“Tempat ini bagus, sebab tempat lain tidak dapat macam ini. Di sini parkir senang, makan pun di tempat yang luas, selepas itu makanan pun sedap-sedap dan meriah.

“Kalau ada peluang seperti ini memang kita akan datang, kalau kita nak masak, kita pun dah penat (balik dari kerja). Jadi di sini mudah dan kita tidak perlu penat-penat, datang tinggal nak makan sahaja,” ujarnya.

Dalam pada itu, mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM), Muhammad Fahimullah Sobahul Khairi, 20, berkata, pengalaman berbuka di program Iftar Ala Madinah @Karangkraf amat bermakna memandangkan sudah dua tahun negara berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Jelas pemuda berasal dari Terengganu itu, ia juga merupakan kali pertama dia merasai pengalaman berbuka beramai-ramai melalui program tersebut.

“Saya rasa agak terharu memandangkan ini kali pertama saya berada luar dari Terengganu dan iftar jauh daripada keluarga,” jelasnya.

Program Iftar Ala Madinah @Karangkraf di bawah naungan Sinar Harian bersama Karya Bestari dan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) itu berlangsung bermula 4 April lalu sehingga esok di Dataran Karangkraf, Shah Alam.