Isu Hakim Nazlan: Tindakan SPRM pamer kuasa boleh musnahkan imej

Mohd Nazlan
Mohd Nazlan
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak boleh cuba mempamerkan kuasanya terutamanya berhubung isu siasatan terhadap Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Kumpulan bekas penjawat awam kanan, G25 dalam kenyataan berkata, tindakan tersebut akan memusnahkan imej SPRM itu sendiri sebagai pihak berkuasa yang dipercayai untuk menangani gejala rasuah di negara ini.

“G25 bimbang tindakan SPRM menyiasat hakim kanan Mohd Nazlan akan dilihat sebagai percubaan pihak berkuasa untuk menghantar isyarat kepada badan kehakiman dan menakut-nakutkannya kerana terlalu bebas dalam membuat penghakiman terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang masih sangat berkuasa dalam kehidupan politik tanah air bukan sahaja sebagai pemimpin UMNO malah di peringkat akar umbi,” kata kenyataan itu pada Khamis.

Pada 20 April lalu, penulis blog, Raja Petra Kamarudin mendakwa Mohd Nazlan disiasat berhubung terpalit konflik kepentingan dalam kes rayuan SRC International yang membabitkan Najib.

Menurut Raja Petra dalam portalnya Malaysia Today pada 19 April, Nazlan disiasat berhubung wang RM1 juta yang tidak diisytihar dalam akaunnya.

Dalam pada itu, tambah kenyataan tersebut, sebarang percubaan pihak berkuasa kerajaan untuk melampaui fungsinya dengan mengabaikan kebebasan perlembagaan badan kehakiman akan mempunyai implikasi serius di peringkat tempatan dan antarabangsa terhadap penghormatan Malaysia.

Ujarnya, ia juga memberi kesan terhadap pengasingan kuasa di antara tiga tonggak kerajaan iaitu badan perundangan, eksekutif dan badan kehakiman.

“SPRM tidak boleh cuba mempamerkan kuasanya. Dengan berbuat demikian, SPRM sedang memusnahkan imejnya sendiri sebagai pihak berkuasa yang dipercayai untuk menangani gejala rasuah di negara ini,” menurut kenyataan berkenaan.

Jelasnya, SPRM harus bertindak dengan berhati-hati supaya tidak menimbulkan fitnah terhadap hakim atau menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap badan kehakiman.

“Pertama sekali, adakah SPRM telah menjalankan siasatan menyeluruh terhadap kredibiliti dakwaan penulis blog, Raja Petra Kamarudin, sebelum mengeluarkan kenyataan medianya?

“Dalam hal ini, adalah wajar untuk diambil perhatian bahawa badan kehakiman telah menyatakan bahawa ia mendapati tiada sebab untuk mengesyaki integriti hakim,” ujarnya.