Keuntungan Bursa Malaysia susut RM67.97 juta

Hasil dagangan sebanyak RM80.4 juta, turun 46.7 peratus disebabkan ADV lebih rendah untuk dagangan pasaran di pasaran sekuriti.
Hasil dagangan sebanyak RM80.4 juta, turun 46.7 peratus disebabkan ADV lebih rendah untuk dagangan pasaran di pasaran sekuriti.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keuntungan bersih Bursa Malaysia Bhd bagi suku pertama berakhir 31 Mac, 2022 susut kepada RM67.97 juta daripada RM121.39 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Penurunan pendapatan itu disebabkan oleh hasil operasi lebih rendah yang jatuh 29.4 peratus kepada RM161 juta daripada RM228 juta pada suku pertama tahun kewangan 2021 disebabkan hasil dagangan sekuriti merosot.

Hasil pada suku pertama tahun kewangan 2022 turun kepada RM165.29 juta daripada RM232.27 juta sebelumnya, kata pengendali bursa saham itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Muhamad Umar Swift berkata, purata nilai dagangan harian (ADV) kekal ke arah normalisasi kepada paras sebelum pandemik yang menyumbang kepada keuntungan bagi suku tahun semasa susut berbanding suku yang sama tahun lepas.

"Bagaimanapun, keuntungan selepas cukai adalah 4.6 peratus lebih tinggi daripada suku keempat berakhir 31 Disember, 2021 sebanyak RM65 juta, kebanyakannya disumbangkan oleh ADV 2.8 peratus lebih tinggi yang dicatatkan pada suku ini,” katanya dalam satu kenyataan berasingan kepada Bursa Malaysia.

Bursa Malaysia berkata, pasaran sekuriti merekodkan keuntungan segmen RM104.4 juta pada suku pertama tahun kewangan 2022, berkurangan sebanyak 40.2 peratus berbanding RM174.6 juta pada suku pertama tahun kewangan 2021 terutamanya disebabkan oleh hasil operasi lebih rendah pada suku tahun semasa.

Segmen itu mencatatkan hasil dagangan sebanyak RM80.4 juta, turun 46.7 peratus daripada RM150.9 juta pada suku pertama tahun kewangan 2021 disebabkan ADV lebih rendah untuk dagangan pasaran di pasaran sekuriti dan dagangan perniagaan langsung pada suku pertama tahun kewangan 2022 sebanyak RM2.7 bilion berbanding RM5.2 bilion dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Pasaran Derivatif mencatatkan keuntungan segmen sebanyak RM12.9 juta pada suku tahun semasa, meningkat 11.5 peratus daripada RM11.6 juta pada suku pertama tahun kewangan 2021 terutamanya disebabkan oleh hasil operasi yang lebih tinggi pada suku pertama tahun kewangan 2022.

Purata kontrak harian segmen itu jatuh 3.5 peratus dengan 77,513 kontrak pada suku pertama tahun kewangan 2022 berbanding 80,338 kontrak pada suku pertama tahun kewangan 2021.

Bagaimanapun, jumlah hasil dagangan derivatif meningkat 3.4 peratus kepada RM23.3 juta daripada RM22.6 juta sebelumnya, katanya.

Sementara itu, Bursa Malaysia berkata, dana yang diperoleh melalui tawaran awam permulaan (IPO) pada suku pertama tahun kewangan 2022 berjumlah RM1.5 bilion, jauh lebih tinggi daripada RM0.2 bilion yang diperoleh pada suku pertama tahun kewangan 2021.

Bagi pasaran Islam, ia berkata aktiviti dagangan yang lebih tinggi di Bursa Suq Al-Sila’ menghasilkan peningkatan hasil dagangan sebanyak 12.2 peratus kepada RM3.8 juta pada suku pertama tahun ini daripada RM3.4 juta sebelumnya.

"Perkhidmatan penyenaraian dan penerbit meningkat 7.2 peratus untuk ditutup bagi suku pertama pada RM16.9 juta berbanding RM15.8 juta pada suku pertama tahun kewangan 2021,” katanya.

Bursa Malaysia juga berkata, jumlah perbelanjaan operasi melaporkan peningkatan 4.6 peratus kepada RM72.5 juta pada suku pertama tahun kewangan 2022 daripada RM69.4 juta sebelumnya.

Muhamad Umar berkata, dengan pembukaan semula ekonomi dan sempadan antarabangsa, Bank Negara Malaysia (BNM) menjangka unjuran pertumbuhan Malaysia adalah antara 5.3 peratus dan 6.3 peratus.

"Oleh itu, pertumbuhan ekonomi yang lebih baik boleh dijangkakan apabila negara bergerak ke arah fasa endemik dan kami menjangkakan lebih banyak peluang dagangan untuk pelabur disebabkan oleh pergerakan harga minyak sawit mentah dasar kadar faedah dan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI).

"Bagi memastikan kami mengekalkan minat pelabur global, kami akan terus meningkatkan daya tarikan penerbit tersenarai melalui pelbagai inisiatif seperti program Transformasi PLC yang dilancarkan awal tahun ini,” katanya. - Bernama