Permohonan PFF Biasiswa Penang, Mutiara dibuka Mei

Kon Yeow bersama pegawai PFF menunjukkan poster 'My Penang My Future' dalam sidang media tadi.
Kon Yeow bersama pegawai PFF menunjukkan poster 'My Penang My Future' dalam sidang media tadi.
A
A
A

GEORGETOWN- Pelajar yang berkelayakan boleh memohon bantuan pembiayaan pembelajaran melalui program biasiswa kerajaan negeri, Penang Future Foundation (PFF) yang akan dibuka pada 31 Mei nanti.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, program inisiatif kerajaan negeri yang dilaksanakan sejak 2015 itu akan dibuka untuk permohonan bermula 31 Mei hingga 20 Jun ini.

Menurutnya, pelajar yang menepati syarat dan berminat boleh mendapatkan maklumat dari laman sesawang PFF, www.penangfuturefoundation.my, akhbar Buletin Mutiara, Facebook, Twitter atau pameran pendidikan terpilih.

"Di bawah program ini, kita menawarkan PFF Biasiswa Penang dan juga PFF Biasiswa Mutiara. Kedua-duanya boleh dipohon oleh mereka yang berminat. Bagaimanapun, pelajar perlu memastikan syarat kelayakan yang dikenakan untuk setiap biasiswa berkenaan.

"Kedua-dua biasiswa tersebut mempunyai berlainan syarat yang perlu dipenuhi termasuk pendapatan isi rumah dan rekod biasiswa. Selain itu, PFF Biasiswa Penang menawarkan kepada pelajar yang memperolehi purata nilai gred kumulatif (CGPA) 3.67 dan ke atas selain pendapatan isi rumah tidak melebihi RM15,000 sebulan," katanya kepada media hari ini.

Tambahnya, bagi PFF Biasiswa Mutiara pula, ia dibuka kepada pelajar yang mempunyai CGPA di antara 3.00 hingga 3.66.

"Syarat pendapatan isi rumah bagi pemohon PFF Biasiswa Mutiara mestilah tidak melebihi RM5,000 setiap bulan. Selain itu, pemohon yang berjaya akan menikmati faedah yang sesuai dengan biasiswa yang diberikan kepada mereka.

"Untuk PFF Biasiswa Penang, mereka akan menerima yuran pembelajaran sehingga RM100,000 dan elaun RM1,000 setiap bulan. Sementara PFF Biasiswa Mutiara pula, yuran pembelajaran sehingga RM60,000 dan elaun RM600 setiap bulan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Kon Yeow berkata, sejak empat tahun lalu, PFF telah membiayai kira-kira 408 pelajar yang akan kembali ke negeri ini untuk bekerja dan memastikan Pulau Pinang mencapai impiannya sebagai negeri pintar, hijau dan mengutamakan keluarga.

"PFF ditubuhkan kerajaan negeri bagi membantu anak tempatan yang cemerlang mengikuti pengajian tinggi dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan, perakaunan di institusi pengajian tinggi dalam negara.

"Bantuan pendidikan ini dibuka untuk semua rakyat Malaysia yang akan menyambung pelajaran di universiti tempatan sahaja. Namun, syaratnya adalah mereka perlu berkhidmat di Pulau Pinang selama lima tahun selepas tamat pembelajaran.

"Mereka tidak diwajibkan untuk bekerja dengan kerajaan negeri atau agensi kerajaan sahaja. Mereka boleh bekerja di mana-mana agensi atau industri, tetapi syaratnya perlu di Pulau Pinang," katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan sentiasa membuat susulan dengan setiap pelajar yang telah tamat pembelajaran bagi memastikan mereka akan kembali ke Pulau Pinang untuk berkhidmat.

Kerajaan negeri telah membelanjakan RM23.3 juta menerusi program PFF iaitu RM4.6 juta pada 2015 (63 pelajar), RM7.6 juta pada 2016 (129 pelajar), RM5.5 juta pada 2017 (108 pelajar) dan RM5.6 juta (108 pelajar) pada tahun lalu.