UMK, OEW perkasa penyelidikan inovasi alga

Azizi (dua,kanan) menyerahkan dokumen MOU kepada Dr Nazily di Kampus Kota, di sini.
Azizi (dua,kanan) menyerahkan dokumen MOU kepada Dr Nazily di Kampus Kota, di sini.
A
A
A

KOTA BHARU – Universiti Malaysia Kelantan dan OEW Algae Technologies Sdn Bhd memeterai perjanjian persefahaman (MOU) kolaborasi bagi penyelidikan dan inovasi produk nilai tambah daripada mikroalga dan tumbuh-tumbuhan herba.

Naib Cancelor UMK, Prof Dr Noor Azizi Ismail berkata, MOU tersebut memberi banyak manfaat kepada banyak pihak, termasuklah hubungan rantaian ekonomi penduduk setempat.

“Kedua-dua pihak bukan sahaja bakal bekerjasama dalam membangunkan ekonomi komuniti setempat tetapi akan menghasilkan produk berasaskan rumpai laut yang boleh dikomersialkan.

“Memandangkan Fakulti Sains berada di Kampus Jeli, kita lihat sekurang-kurangnya komuniti di sana akan dapat manfaat untuk membantu ekonomi mereka melalui kontrak ‘farming’ (ladang kontrak),” katanya kepada media di sini.

Beliau berkata demikian selepas majlis tandatangan MOU dengan syarikat tersebut di Kampus Kota, di sini. OEW diwakili oleh Presidennya, Datuk Dr Nazily Mohd Noor.

Noor Azizi berkata, peluang geran-geran penyelidikan juga dilaksanakan melalui agensi tempatan dan antarabangsa berdasarkan rakan kongsi kerjasama ini.

Beliau berkata, pelajar juga akan mengambil bahagian daripada projek ini sebagai latihan, pengalaman industri dan penempatan kerjaya pada masa hadapan.

“Ia juga membantu jalinan antarabangsa UMK untuk memberi manfaat kepada pelajar dan kakitangan pada masa depan daripada segi penyelidikan bersama, projek bersama, penerbitan bersama, mobiliti kakitangan dan pelajar.

Artikel Berkaitan:

“Ia juga sekali gus membawa nama UMK setanding dengan universiti lain,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan yang sama, Dr Nazily juga turut berkongsi, OEW memilih UMK kerana ia merupakan universiti keusahawanan dan mempunyai pengambilan pelajar yang ramai dalam bidang tersebut.

“Kerjasama ini sebagai satu platform yang dapat mendedahkan kepada pelajar UMK terutama dalam bidang keusahawanan untuk mereka mengetahui secara praktikal bagaimana menguruskan perniagaan, kewangan dan juga cara pemasaran,” katanya.