Apakah langkah pemulihan terhadap murid tercicir?

Anuar Ahmad
Anuar Ahmad
A
A
A

SHAH ALAM - Langkah pemulihan terhadap murid yang tercicir akibat pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) perlu dimasukkan dalam Garis Panduan Pengoperasian dan Pengurusan Sekolah 4.0 oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad berkata, penutupan sekolah selama lebih 250 hari menyebabkan berlakunya keciciran berskala besar dalam sektor pendidikan negara.

Katanya, ketidakberkesanan pembelajaran PdPR yang turut disahkan KPM itu juga menjadi punca terjadinya masalah tersebut, khususnya dalam kalangan murid miskin di bandar dan pedalaman.

“Sepatutnya data terkini 'baseline' impak pandemik Covid19 terhadap sektor pendidikan negara seperti data keciciran pembelajaran dan pencapaian pembelajaran murid dimaklumkan secara jelas dalam garis panduan pengoperasian sekolah ini sebagai makluman kepada ibu bapa.

“Berdasarkan data 'baseline' tersebut, Ibubapa tentu ingin tahu apakah langkah-langkah pemulihan yang akan dilaksanakan oleh KPM apabila sekolah dibuka semua seperti biasa,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Dalam pada itu, Anuar turut mempersoalkan perancangan KPM dalam isu berkaitan kesinambungan sistem pembelajaran hibrid dan usaha pendigitalan pendidikan negara.

“Apakah usaha pendigitalan pendidikan akan dipinggirkan dan terkubur selepas sesi persekolahan kembali seperti biasa?

“Di saat sistem pendidikan di negara-negara maju mula mengamalkan pendigitalan pendidikan sepenuhnya dalam sistem persekolahan mereka, apakah agenda pendigitalan pendidikan negara kita bergerak ke arah yang sama pasca pandemik Covid19?

“Atau sistem pendidikan negara kita akan kembali ke belakang semula selepas ini?, soalnya.