Anak Kelantan di perantauan disaran guna laluan alternatif: MB

Ahmad Yakob
Ahmad Yakob
A
A
A

KOTA BHARU - Rakyat Kelantan khususnya di perantauan yang ingin pulang ke kampung untuk menyambut Aidilfitri disaran menggunakan laluan alternatif bagi mengelakkan berlaku kesesakan jalan raya.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, mereka juga perlu mengikuti arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa selain merancang perjalanan sebelum pulang ke kampung dengan selamat.

"Kita menjangkakan jumlah kemasukan anak perantauan dari Kelantan sangat ramai kerana sudah sekian lama kita tidak meraikan sambutan Aidilfitri dengan meriah berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan wabak Covid-19.

"Justeru, saya ingin mengingatkan kepada orang ramai supaya kekal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) norma baharu terutamanya di majlis keramaian dan kawasan sempit walaupun beberapa kelonggaran telah diberikan oleh kerajaan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyampaian Bantuan Khas Aidilfitri kepada guru-guru pondok negeri Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim di sini, pada Khamis.

Mengulas mengenai majlis penyampaian bantuan itu, Ahmad berkata, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM200,000 untuk diagihkan kepada 400 penerima terdiri daripada guru-guru pondok, tenaga pengajar dan juga mudir.

"Kita harap dengan adanya bantuan ini, ia dapat membantu meringankan beban dan persediaan menyambut Aidilfitri tahun ini,” katanya. - Bernama