Ubah kaedah sedia ada atasi banjir kilat Kuala Lumpur

Hannah Yeoh
Hannah Yeoh
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) perlu mengubah kaedah sedia ada dalam menangani isu banjir kilat di Kuala Lumpur.

Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh berkata, beliau sebelum ini telah mencadangkan beberapa kaedah penyelesaian selepas insiden banjir menimpa Lembah Klang, Disember lalu.

Menurutnya, antara cadangan dikemukakan termasuk mengekalkan semua kolam takungan banjir di Kuala Lumpur dan menyelenggara sungai serta pemasangan siren amaran banjir.

"Kami juga ada mencadangkan supaya makluman amaran banjir melalui perkhidmatan sistem pesanan ringkas (SMS) Majlis Keselamatan Negara dilaksanakan bagi melindungi penduduk dan mengelak kejadian banjir kilat berulang.

"Bagaimanapun selepas empat bulan, semua cadangan ini masih tinggal cadangan dan lambat untuk dilaksanakan, sebaliknya pihak berkuasa hanya menggunakan prosedur operasi standard (SOP) dan sumber sedia ada untuk menangani permasalahan itu," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Katanya, Disember lalu dua lokasi di Segambut (Kolam Air dan Kampung Kasipillay) terjejas teruk akibat hujan lebat yang luar biasa dan pada Isnin hampir 10 kawasan mengalami banjir antaranya Kampung Segambut Luar, Kampung Segambut Dalam dan Kampung Masjid Segambut.

Beliau berkata, semua persoalan dibangkitkan diberikan jawapan standard oleh pihak berkuasa sedangkan penduduk telah mengalami banyak kerugian.

Justeru, beliau menggesa semua cadangan pembangunan termasuk projek MRT3 sekitar 10 lokasi banjir di Segambut dihentikan sepanjang tahun ini dihentikan sementara menunggu isu banjir kilat diselesaikan oleh kerajaan dan DBKL.