Kandungan media sosial: Kementerian teliti tambah baik akta

Annuar (kanan) menyampaikan sumbangan zakat kepada sebahagian pelajar pada Majlis Penyampaian Zakat Fisabilillah Pelajar Tingkatan 6 Atas dan 6 Bawah Parlimen Ketereh 2022 di Kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK), Melor pada Khamis. - Foto Bernama
Annuar (kanan) menyampaikan sumbangan zakat kepada sebahagian pelajar pada Majlis Penyampaian Zakat Fisabilillah Pelajar Tingkatan 6 Atas dan 6 Bawah Parlimen Ketereh 2022 di Kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK), Melor pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Kementerian Komunikasi dan Multimedia sedang membuat penelitian bagi menambah baik akta sedia ada, supaya tindakan dapat diambil kepada kandungan yang menyalahgunakan media sosial.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, sebahagian besar garis panduan mengenai kandungan, telah pun berada dalam Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Beliau berkata, daripada satu sudut, akta sedia ada boleh dianggap memadai cuma apabila kandungan yang dimuat naik daripada platform luar negara, undang-undang negara tidak dapat melangkauinya.

"Misalnya kalau dia muat naik dalam Facebook dan Twitter, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) tiada kuasa untuk tarik melainkan minta tolong kepada platform yang berada di luar negara, itupun kena ada siasatan awal kemudian dibawa ke Jabatan Peguam Negara (AGC) sebelum memohon kepada negara terlibat untuk dapatkan kerjasama.

"Jadi proses agak panjang, sebab itu kita memang sedang membuat penelitian kepada akta sedia ada sekiranya ada ruang yang boleh kita tambah baik dan kita sesuaikan dengan pengalaman yang kita lalui dalam menguruskan perkara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan Zakat Fisabilillah kepada 259 pelajar tingkatan enam Parlimen Ketereh di Kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan di sini, pada Khamis.

Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada kerajaan berhasrat untuk mengetatkan undang-undang sedia ada, berikutan ada kandungan yang dimuat naik dalam media sosial dilihat melanggar undang-undang. - Bernama