X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 07 Julai 2022

Vaksin Omicron Sinopharm lulus jalani ujian klinikal

Gambar hiasan.
A
A

BEIJING - Syarikat farmaseutikal China, Sinopharm memaklumkan vaksin tidak aktif varian Omicron telah mendapat kelulusan bagi menjalani ujian klinikal oleh Pentadbiran Produk Perubatan China.

Menurut anak syarikatnya iaitu China National Biotec Group pada Selasa, ujian itu akan mengambil masa tiga hingga empat bulan.

Difahamkan, penyelidikan dan pembangunan (R&D) vaksin itu dimulakan sejak 9 Disember 2021.

Ketua Jurutera Sinopharm, Yang Xiaoming menjelaskan bahawa pihaknya berjaya menyelesaikan mutasi Omicron dengan menggunakan makmal biokeselamatan tahap tinggi P3 baharu.

Beliau yang juga Pengerusi China National Biotec Group berkata proses itu dijalankan mengikut garis panduan serta strategi penyelidikan dan pembangunan vaksin COVID-19 Pentadbiran Produk Perubatan China.

Ketika mengulas mengenai kapasiti pengeluaran, Ketua Saintis China National Biotec Group, Yang Huichuan berkata sejak penularan pandemik Covid-19, pihaknya telah membina enam bengkel pengeluaran peringkat P3 dan tiga makmal peringkat P3 di seluruh China.

Beliau berkata kapasiti pengeluaran vaksin oleh pihaknya kini melebihi tujuh bilion dos setahun dan kemudahan pengeluaran utama akan digunakan untuk menghasilkan vaksin varian Omicron untuk fasa seterusnya.

Untuk rekod, varian Omicron Covid-19 antara varian utama yang berleluasa di dunia pada masa ini dengan mempunyai ciri jangkitan yang kuat, pantas merebak dan proses penyebaran tersembunyi. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!