Sila log masuk terlebih dahulu.

Bank Muamalat umum keuntungan lebih tinggi

Bank Muamalat catat keuntungan sebelum zakat dan cukai (PBZT) meningkat 46.8 peratus kepada RM256.6 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 daripada RM174.8 juta pada tahun kewangan 2020. (Gambar kecil: Khairul Kamarudin)
Bank Muamalat catat keuntungan sebelum zakat dan cukai (PBZT) meningkat 46.8 peratus kepada RM256.6 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 daripada RM174.8 juta pada tahun kewangan 2020. (Gambar kecil: Khairul Kamarudin)
A
A
A

BANK Muamalat Malaysia Bhd (Bank Muamalat) mencatat keuntungan sebelum zakat dan cukai (PBZT) meningkat 46.8 peratus kepada RM256.6 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 daripada RM174.8 juta pada tahun kewangan 2020.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Khairul Kamarudin berkata, prestasi cemerlang yang dicatatkan pada tahun kewangan 2021 sebahagian besarnya didorong oleh jumlah pendapatan yang meningkat, pertumbuhan pembiayaan yang kukuh dan kualiti aset yang lebih baik.

"Bank Muamalat kekal berdaya tahan dalam tempoh yang mencabar, walaupun terdapat risiko yang wujud daripada peningkatan semula pandemik Covid-19 dan sekatan yang memberi impak kepada operasi perniagaan untuk sebahagian besar tahun lepas.

"Sekatan pergerakan Covid-19 yang ketat menjejaskan individu dan perniagaan dan bank terus membantu pelanggan yang menghadapi kekangan kewangan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Khairul berkata, kumpulan turut mencatatkan pertumbuhan jumlah aset sebanyak tujuh peratus kepada RM27.6 bilion daripada RM25.8 bilion pada tahun kewangan 2020.

"Ini sebahagian besarnya disumbangkan oleh pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 14.46 peratus untuk jumlah pembiayaan kasar kepada pelanggan, yang meningkat kepada RM20.9 bilion pada tahun kewangan 2021 daripada RM18.2 bilion pada tahun kewangan 2020, sebahagian besarnya daripada segmen perbankan pengguna,” katanya.

Bank Muamalat menambah baik kualiti asetnya dengan Pembiayaan Terjejas Kasar pada 0.83 peratus setakat 31 Disember 2021, berbanding 1.07 peratus tahun sebelumnya.

"Selepas menghadapi pandemik di landasan yang kukuh, Bank Muamalat menjangka prestasi yang lebih baik untuk 2022, berikutan momentum yang positif pada 2021, selain keupayaan digital dan teknologi yang dipertingkatkan,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: