Kerajaan tambah subsidi penternak ayam

Alexander ( dua, kiri) ketika lawatan ke sebuah stesen minyak di Jalan Lingkaran Dalam Johor Bahru, pada Khamis.
Alexander ( dua, kiri) ketika lawatan ke sebuah stesen minyak di Jalan Lingkaran Dalam Johor Bahru, pada Khamis.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan akan menambah subsidi kepada penternak ayam bagi memastikan harga runcit ayam mentah kekal pada RM8.90 sekilogram (kg).

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, perkara itu diputuskan dalam Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) baru-baru ini.

"Mesyuarat terakhir NACCOL memutuskan harga ayam segar perlu dikekalkan pada harga RM8.90 kg sehingga 5 Jun ini.

"Oleh kerana ada kenaikan kos, kerajaan setuju menambah subsidi bagi menampung kos supaya harga runcit kekal.

Penambahan subsidi akan diumumkan kemudian, namun dari segi prinsipnya harga siling perlu diteruskan sehingga 5 Jun ini dahulu sebelum perkara lain diputuskan nanti," katanya ketika lawatan kerja ke sebuah stesen minyak di Jalan Lingkaran Dalam, pada Khamis.

Pada Februari lalu, Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dilaporkan berkata, pemberian subsidi sebanyak RM0.60 sen per kilogram (kg) kepada penternak ayam adalah selepas mengambil kira harga ayam hidup di peringkat ladang sebanyak RM5.90 per kg dan harga runcit ayam bulat standard sebanyak RM8.90 per kg.

Bagi subsidi telur pula, jemaah menteri bersetuju memberi sebanyak RM0.05 sen sebiji untuk semua kategori.

Keseluruhan implikasi kewangan kepada kerajaan bagi melaksanakan pemberian subsidi ayam dan telur di seluruh negara untuk tempoh empat bulan bermula Februari adalah sebanyak RM528.52 juta.