Jurugambar pulihara rumah tradisional Kelantan usia lebih 100 tahun

Johan Ariff, 52, menikmati pemandangan dari atas beranda Rumah Tiang 12 yang dinamakan sebagai Sri Getam Guri ketika ditemui Bernama di Kampung Dusun Muda di sini.
Johan Ariff, 52, menikmati pemandangan dari atas beranda Rumah Tiang 12 yang dinamakan sebagai Sri Getam Guri ketika ditemui Bernama di Kampung Dusun Muda di sini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bermula sebagai jurugambar dengan merakam foto yang bersifat kesenian Melayu, ia telah membangkitkan keinginan Johan Ariff Ismail, 52, untuk menyelamatkan sebuah rumah tradisional Kelantan, Rumah Tiang 12 yang dianggarkan berusia lebih seratus tahun, daripada hampir roboh dan pupus.

Terletak di Kampung Dusun Muda, Kota Bharu, Kelantan, proses pemasangan semula rumah itu yang dinamakan sebagai Sri Getam Guri, mengambil masa kira-kira dua tahun untuk disiapkan dan strukturnya masih mengekalkan keaslian rumah asal tersebut.

Berkongsi cerita itu Johan Ariff berkata, pada mulanya lokasi asal rumah itu terletak di Kampung Atas Paloh (nama asal Kampung Menuang), iaitu kira-kira 3 kilometer daripada tapak baharu dan fizikal rumah itu dalam keadaan terbiar, tidak didiami walaupun 70 peratus struktur kayunya masih dalam keadaan baik dan kukuh.

"Saya banyak buat kerja fotografi dan dokumentasi mengenai warisan Kelantan termasuk juga seni binanya, sehingga satu ketika saya terjumpa Rumah Tiang 12 yang dalam keadaan terabai tapi masih elok, jadi terdetik di hati saya untuk perbaikinya.

"Rezeki saya apabila berjumpa dengan generasi pemilik asal rumah tersebut yang bersetuju untuk menjualnya kepada saya, kerana mereka yakin saya mampu ‘mendirikan’ semula rumah itu dan memuliharanya sebagai tatapan generasi akan datang,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Bercerita lanjut, jurugambar berpengalaman lebih 30 tahun itu berkata Rumah Tiang 12 itu yang berkeluasan 28 meter persegi adalah jenis ‘Rumah Ibu’, yang antaranya mempunyai kompenan seperti pemeleh, serambi basah, tebar layar, dinding janda berhias dan motif ukiran flora Alam Melayu, selain melakukan sedikit pengubahsuaian seperti menambah pintu gerbang dan atap bata singgora.

Johan Ariff berkata, proses melerai dan pemasangan semula struktur kayu rumahnya bermula sekitar Oktober 2020, dengan menggunakan kaedah seperti menanda setiap bahagian kayu rumah, melakukan rakaman imej kedudukan asal khususnya tiang, gelegar (lantai) supaya tidak tertukar, selain membuat rawatan kayu oleh beberapa pertukangan kayu yang mahir.

Keunikan seni bina dan ukiran yang terdapat pada Rumah Tiang 12 yang dinamakan sebagai Sri Getam Guri tersergam indah, dimiliki Johan Ariff, ketika ditemui Bernama di Kampung Dusun Muda di sini.
Keunikan seni bina dan ukiran yang terdapat pada Rumah Tiang 12 yang dinamakan sebagai Sri Getam Guri tersergam indah, dimiliki Johan Ariff, ketika ditemui Bernama di Kampung Dusun Muda di sini.

"Pemasangan rabung iaitu sebatang kayu cengal sepanjang 9.45 meter yang kedudukannya paling tinggi dalam rumah itu, antara proses yang paling mencabar sehinggakan memerlukan bantuan antara 20 hingga 30 orang untuk memasangnya dengan berhati-hati, supaya tidak patah.

"Namun, keseluruhanya daripada proses melerai dan memasang semula lebih mudah, kerana telah ada rujukan lukisan terukur Rumah Tiang 12 tanpa perlu saya mengubah susun atur asalnya dan hanya divariasikan dengan elemen baharu yang sesuai dengan keadaan fizikal rumah itu,” katanya dan menambah kos baik pulih dianggarkan mencecah RM250,000.

Ditanya mengenai kepuasaan kejayaannya membaik pulih semula rumah tradisional itu, Johan Ariff berkata, ia adalah bagi memastikan keunikan seni bina Melayu Kelantan dipertahankan untuk rujukan dan kajian generasi sekarang, selain sebagai produk pelancongan negeri itu.

"Rumah Tiang 12 ini antara seni bina Melayu Kelantan yang pupus, dan membangunkannya semula adalah satu perjuangan kerana dahulu kala selain dijadikan tempat berlindung, rumah adalah simbol kepada perkembangan ketamadunan masyarakat ketika itu,” katanya yang berhasrat menjadikannya sebagai pusat rujukan seni bina tradisional rumah Melayu Kelantan.

Sementara itu, Pensyarah Seni Bina Kolej Kemahiran Tinggi Pasir Mas Arifah Amri berkata, Rumah Tiang 12 ditakrifkan kerana mempunyai 12 tiang kayu yang tidak dipotong dan strukturnya dipasang dalam tanah sehingga ke puncak siling rumah.

Beliau berkata, antara perbezaan rumah tradisional Melayu lain ialah laluan masuk ke Rumah Tiang 12 melalui ruang jemuran atau lantai basah yang tidak berbumbung, berbanding melalui anjung atau serambi yang ada pada rumah tradisional Melayu.

"Rumah Tiang 12 juga biasanya dimiliki bangsawan, pengukir istana, hulu balang dahulu kala dan ia dibina beberapa unit mengikut perkembangan sesebuah keluarga, selain strata pembinaannya tinggi berdekatan dengan sungai Kelantan.

"Selain itu, berdasarkan kajian usianya pula melebihi seratus tahun iaitu dibina sekitar 1800 tahun dan dipercayai menjadi tempat persinggahan alim ulama, kerana sejarah kawasan Kampung Atas Paloh berdekatan dengan Masjid Muhammadi yang menjadi pusat penyebaran dan pendidikan Islam ketika itu,” katanya turut menambah struktur kayu cengalnya menggunakan pasak tanpa sebarang paku. - Bernama