Keningau tuan rumah pelancaran sambutan Pesta Kaamatan 2022

Jeffery bersama Timbalan Persatuan Kadazandusun Culteral Association, Datuk Sri Dr Clarence Bongkos Malakun (kanan) ketika mengadakan sidang media sambutan Pesta Kaamatan 2022 pada Khamis. - Foto Bernama
Jeffery bersama Timbalan Persatuan Kadazandusun Culteral Association, Datuk Sri Dr Clarence Bongkos Malakun (kanan) ketika mengadakan sidang media sambutan Pesta Kaamatan 2022 pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Daerah Keningau dipilih sebagai tuan rumah pelancaran sambutan perayaan Pesta Kaamatan peringkat Sabah tahun ini yang akan diadakan bermula 9 pagi di Pusat Kraftangan, Keningau pada 1 Mei depan.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Perayaan Pesta Kaamatan berkata, pemilihan Keningau bagi memperingati beberapa etnik terdahulu memulakan pesta Kaamatan di daerah itu dan terletaknya Batu Sumpah bagi menghormati adat dan budaya Orang Asal.

Beliau berkata, hari kemuncak sambutan itu akan diadakan di Dewan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun Murut (KDCA), Penampang pada 31 Mei depan.

"Sambutan pada kali ini juga memperkenalkan program baharu iaitu memberikan anugerah kepada tiga kategori petani yang menunjukkan prestasi yang baik dalam pertanian iaitu pengeluar padi terbaik, pengeluar makanan ternakan terbaik dan perikanan terbaik,” katanya pada sidang media sambutan itu di sini pada Khamis.

Keningau merupakan sebuah daerah di pedalaman Sabah berkeluasan 3,533 kilometer persegi dan terletak kira-kira 110 kilometer ke selatan dari Kota Kinabalu.

Jeffrey yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah berkata, pada sambutan pesta berkenaan, kerajaan negeri turut mengekalkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) apabila pengunjung dan pihak penganjur diwajibkan memakai pelitup hidung dan mulut.

Beliau berkata, meskipun SOP telah dilonggarkan namun sambutan Kaamatan perlu diraikan secara berhati-hati dan terkawal selepas dua tahun tidak disambut secara fizikal.

Tema sambutan pesta Kaamatan pada tahun ini ialah 'Kaamatan Menjiwai Alam Semulajadi' yang memberi penekanan tentang pentingnya penjagaan dan pemuliharaan alam sekitar dan anggaran kos penganjuran melibatkan sebanyak RM1.5 juta.

Katanya, sambutan Kaamatan pada tahun ini akan dijalankan secara fizikal dan dalam talian untuk memaparkan keunikan masyarakat di Sabah kepada dunia luar sekali gus menjana semula industri pelancongan serta pertanian di negeri ini. - Bernama