Warga emas cekal jaga cucu autisme yatim piatu

Siti Bunga (kiri) secara spontan membacakan doa sebaik sahaja menerima sumbangan disampaikan Muhammad Ridzuan (kanan).
Siti Bunga (kiri) secara spontan membacakan doa sebaik sahaja menerima sumbangan disampaikan Muhammad Ridzuan (kanan).
A
A
A

KUALA KETIL - Biarpun sudah lanjut usia, seorang warga emas cekal membesarkan cucu lelakinya yang menghidap autisme di Kampung Kuala Lesong, di sini sejak 10 tahun lalu.

Siti Bunga Salleh, 82, berkata, cucunya, Muhamad Hafizi Mat Saad, 26, ditatang bagai minyak yang penuh setelah kematian kedua-dua ibu bapanya.

Dia yang membahasakan diri sebagai 'tok' berkata, setiap hari cucunya itu disuapkan makan, dimandi, dibersihkan najis serta ditemani ketika hendak tidur kerana Muhamad Hafizi tidak mampu menguruskan dirinya sendiri.

"Waktu siang 'tok' letak Muhamad Hafizi dalam bilik khas bertutup dan separuh berjaring, kena kunci dengan mangga dan rantai bagi rapat.

"Tok tak mau dia keluar, dulu kalau terlepas pandang, dia hilang pukul 1 atau 2 pagi, tok terpaksa cari merata tempat, tok dah tak larat, dia pula tak boleh bercakap dan tak reti jalan balik rumah.

Beginilah kehidupan Muhamad Hafizi yang menumpang kasih neneknya, Siti Bunga setelah kedua-dua ibu bapa meninggal dunia.
Beginilah kehidupan Muhamad Hafizi yang menumpang kasih neneknya, Siti Bunga setelah kedua-dua ibu bapa meninggal dunia.

"Bila tok pakaikan baju dan seluar, dia suka buka dan campak merata-rata, pernah dia keluar rumah tanpa pakaian dan melilau tanpa tujuan,"jelasnya.

Siti Bunga yang juga bekas bidan kampung menjelaskan, kedatangan Ramadan membuatkannya sayu melihat keadaan cucunya.

"Kadang-kadang tok teringin nak pergi sembahyang tarawih tetapi terpaksa melupakan hasrat itu bila tengok keadaan Muhamad Hafizi, tok risau dia hilang jika ditinggalkan seorang diri.

"Tok sentiasa ada dengan dia, sekiranya ada urusan penting, tok keluar sat ja (sekejap sahaja), risau dia mengamuk," katanya.

Biarpun penat terpaksa menjaga Muhamad Hafizi seorang diri namun kasih sayang terhadap cucunya itu sentiasa menebal.

Setiap malam, pintu bilik khas dibuka bagi membolehkan Muhamad Hafizi tidur di atas katil bersamanya.

Muhamad Hafizi ditempatkan dalam bilik khas dan berkunci supaya tidak lari atau keluar dari rumah.
Muhamad Hafizi ditempatkan dalam bilik khas dan berkunci supaya tidak lari atau keluar dari rumah.

Muhamad Hafizi merupakan penerima Bantuan OKU Tidak Berupaya Bekerja (BTB) Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM300 sebulan.

Kesusahan yang dihadapi kedua beranak itu mendapat perhatian Pertubuhan Kebajikan Nusrah Prihatin Negeri Kedah yang diwakili Muhammad Ridzuan Osman melakukan kunjungan ke kediaman mereka.

Muhammad Ridzuan yang juga merupakan Ketua Operasi Team Pengurusan Jenazah Percuma Madad turut menyampaikan sumbangan barangan keperluan dan wang tunai kepada Siti Bunga sebagai persiapan Aidilfitri.