Kes denggi meningkat tujuh kali ganda di Gua Musang

Dr Zaini (tiga, kiri) merasmikan Program Gotong-royong Mega Perangi Aedes peringkat negeri di Kampung Panchor, hari ini.
A
A

KOTA BHARU – Kes denggi di Gua Musang mencatatkan peningkatan tujuh kali ganda sekaligus meletakkan daerah ini tertinggi di seluruh negeri, tahun ini.

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Zaini Hussin berkata, ia meningkat sebanyak 800 peratus atau 16 kes bermula 10 minggu lalu.

Ia katanya, diikuti Tumpat yang mengalami kenaikan sebanyak 714 peratus (150 kes), Jeli 600 peratus (24), Kota Bharu 359 peratus (330) dan Pasir Mas 290 peratus (29 kes).

Selain itu katanya, Bachok melonjak sebanyak 244 peratus (51 kes) manakala Tanah Merah 243 peratus (51), Kuala Krai 167 peratus (15) dan Machang 75 peratus (3).

“Semua daerah meningkat kecuali Pasir Puteh dan ia meletakkan Kelantan berada di kedudukan lima atau enam yang tertinggi di seluruh negara.

“Ini menjadikan jumlah kes denggi di Kelantan meningkat tiga kali ganda kepada 886 kes berbanding 210 kes bagi tempoh sama tahun lalu,” katanya selepas Program Gotong-royong Mega Perangi Aedes peringkat negeri di Kampung Panchor, hari ini.

Hadir sama Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Ahmad Marzuk Shaary.

Hasil pemantauan juga katanya, sebanyak 68 episod wabak denggi dilaporkan berbanding 10 episod wabak denggi bagi tempoh yang sama tahun lalu.

Bagi memberi kesedaran kepada masyarakat beliau berkata, sebanyak 3,662 premis diperiksa dan pihaknya mengeluarkan 634 kompaun berjumlah RM 317,000 kerana mereka didapati wujudnya kawasan pembiakan aedes.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia