Indeks Harga Pengeluar Malaysia meningkat 11.6 peratus pada Mac 2022

Mohd Uzir
Mohd Uzir
A
A
A

INDEKS Harga Pengeluar (IHPR) Malaysia bagi pengeluaran tempatan yang mengukur kos barangan di pintu kilang mencatatkan peningkatan dua digit buat kali pertama tahun ini dengan 11.6 peratus pada Mac 2022, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Dalam satu kenyataan pada Khamis, Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, prestasi baik ini dipacu oleh indeks perlombongan yang meningkat 28.2 peratus berbanding 23.3 peratus yang dicatatkan pada Februari 2022.

"Indeks pertanian, perhutanan dan perikanan turut mencatatkan peningkatan lebih tinggi 24.9 peratus berbanding 17.7 peratus pada Februari 2022, didorong terutamanya oleh kenaikan dalam indeks bagi penanaman tanaman kekal (33.4 peratus), perikanan (6.5 peratus) dan pengeluaran ternakan (5.5 peratus).

"Pada masa yang sama, indeks pembuatan meningkat 8.9 peratus berbanding 7.9 peratus direkodkan pada Februari 2022.

"Pertumbuhan ini disokong oleh kenaikan dalam indeks subsektor pembuatan produk petroleum bertapis (22.7 peratus), pembuatan minyak dan lemak daripada sayuran serta haiwan (20.8 peratus) dan pembuatan kimia asas, baja dan sebatian nitrogen, plastik dan getah sintetik dalam bentuk primer (13.3 peratus)," jelas Mohd Uzir.

Sementara itu, indeks bekalan air dan bekalan elektrik serta gas masing-masing meningkat 1.7 peratus dan 0.2 peratus.

Bagi perbandingan bulan ke bulan, Mohd Uzir Mahidin menjelaskan, IHPR pengeluaran tempatan pada Mac 2022 meningkat 2.4 peratus.

"Kenaikan ini disebabkan oleh peningkatan 8.6 peratus bulan ke bulan dalam indeks pertanian, perhutanan dan perikanan yang mana ianya dipacu oleh harga buah tandan segar kelapa sawit yang lebih tinggi.

"Sementara itu, harga minyak mentah dan gas asli terus meningkat pada Mac 2022, menyumbang kepada kenaikan 5.0 peratus dalam indeks perlombongan," katanya.

Dalam pada itu, indeks pembuatan juga naik 1.5 peratus (Februari 2022: 1.3 peratus), disumbangkan oleh kenaikan dalam indeks subsektor pembuatan minyak dan lemak daripada sayuran dan haiwan (3.7 peratus), pembuatan produk petroleum bertapis (2.9 peratus) serta pembuatan komponen dan papan elektronik (0.5 peratus).

Selain itu, indeks bekalan elektrik dan gas serta bekalan air masing-masing meningkat 0.2 peratus dan 0.1 peratus.

Mengenai IHPR pengeluaran tempatan mengikut peringkat pemprosesan, Mohd Uzir berkata, indeks bahan mentah untuk diproses selanjutnya terus mencatatkan peningkatan 23.3 peratus pada Mac 2022, disumbangkan oleh indeks bahan bukan makanan (27.1 peratus) dan bahan makanan dan makanan untuk haiwan (3.4 peratus).

"Pada masa yang sama, indeks bahan perantaraan, bekalan dan komponen mengembang 12.5 peratus, didorong oleh kenaikan dalam indeks bahan api yang diproses dan pelincir (20.1 peratus), bahan dan komponen untuk pembuatan (12.8 peratus) dan bahan dan komponen untuk pembinaan (4.6 peratus).

"Indeks barang siap turut mencatatkan peningkatan pada Mac 2022 dengan 0.4 peratus, setelah merekodkan penurunan selama lapan bulan berturut-turut," katanya.

Pada suku tahun pertama 2022, IHPR pengeluaran tempatan merekodkan kenaikan 10.2 peratus berbanding 11.9 peratus yang direkodkan pada suku keempat 2021.

Peningkatan ini dipacu oleh indeks perlombongan (28.3 peratus), pertanian, perhutanan dan perikanan (18.4 peratus), pembuatan (8.0 peratus), bekalan air (1.4 peratus) dan bekalan elektrik dan gas (0.6 peratus).

Sementara itu, perbandingan suku tahun ke suku tahun menunjukkan, IHPR pengeluaran tempatan meningkat 3.5 peratus berbanding 2.1 peratus yang direkodkan pada suku tahun keempat 2021.

Mohd Uzir Mahidin berkata, pada masa ini, dunia bukan sahaja sedang berdepan dengan gangguan rantaian bekalan global, tetapi turut menyaksikan permulaan kepada krisis makanan global kesan daripada pandemik selain perang yang berlaku baru-baru ini.

Beliau berkata, kenaikan kos bahan mentah antaranya minyak mentah dan baja akan menyumbang kepada kenaikan harga makanan global termasuk Malaysia.

Pada Mac 2022, Food and Agriculture Organisation of the United Nations (FAO) melaporkan Indeks Harga Makanan pada 159.3 mata, meningkat 12.6 peratus berbanding Februari 2022.

Di samping itu, harga minyak mentah Brent terus meningkat walaupun dilihat stabil pada awal April 2022.

"Selain itu, harga minyak sawit mentah telah mencecah RM8,000/tan pada awal Mac 2022, dengan purata RM6,867.00 satu tan pada Mac 2022, meningkat daripada RM5,930.50 satu tan yang dicatatkan pada Februari 2022.

"Harga baja juga dijangka terus naik terutamanya apabila harga gas asli meningkat," kata Mohd Uzir. - Bernama